KETAM AJAK ANAK BERJALAN...

 





PESANAN SANUSI KEPADA ANAK MUDA


“JANGAN BERGANTUNG MASA DEPAN PADA HARAPAN PALSU” 


Oleh: Roslinda Hashim


KOTA BHARU - Anak muda dinasihatkan supaya tidak menggantungkan masa depan kepada nasib atau harapan palsu, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan.


Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kehidupan yang baik perlu dibina melalui usaha, realiti dan kebergantungan kepada Tuhan, bukannya sekadar mengharapkan sesuatu tanpa tindakan.


“Orang muda, belajar banyak-banyak. Hidup dalam dunia realiti dan hidup dalam iman dan yakin. Jangan menggantungkan masa depan kepada nasib dengan harapan-harapan palsu kerana semua akan mengecewakan.


“Berusahalah bersungguh-sungguh. Bekerja keras. Jangan lupa Tuhan. Tolong adik-beradik dan kawan-kawan. Hidup ini kena beramai-ramai,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika sesi Podcast Anak Muda sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini.


Dalam pada itu, Sanusi turut mengingatkan golongan muda supaya tidak terlalu mengejar kesenangan sehingga melupakan nilai kehidupan, persahabatan dan pengalaman ketika susah.


“Jangan takut untuk menjadi susah. Senang mungkin mudah hilang, susah pun boleh hilang. Tetapi susah akan pimpin kita untuk hidup sepanjang masa.


“Jangan cepat sangat nak jadi senang. Bukan senang nak jadi senang. Tetapi kalau sudah senang, jangan lupa untuk susah. Jangan lupa kawan-kawan,” katanya.


Menurut beliau, anak muda juga perlu berani menjadi diri sendiri tanpa terlalu terikut-ikut dengan kehidupan atau gaya orang lain.


“Jangan hidup dalam kepalsuan. Jangan berlakon menjadi orang lain. Kita hiduplah cara kita. Orang suka, orang tidak suka, inilah diri kita.


“Dalam dunia ini, orang menyeru kepada universal, semua kena satu set barulah kita hidup dalam dunia globalisasi. Kita kena hidup dalam set kita masing-masing, tetapi berkongsi satu pentas.


“Itu lebih real daripada kita cuba menjadi orang lain. Jangan cuba jadi orang lain. Tak ada gunanya. Jadilah diri kita sendiri,” katanya.


Sanusi turut mengingatkan anak muda supaya tidak sombong atau merasakan diri lebih hebat berbanding orang lain.


“Jangan sombong. Jangan anggap kita seorang super power dan orang lain lekeh.


“Mari kita hidup sebagai diri kita. Buat benda yang betul. Jangan sombong, jangan berlagak dan jangan buat kerja-kerja merapu. Insya-Allah, dunia ini selamat,” katanya.


https://www.kedahonline.com/2026/09/pesanan-sanusi-kepada-anak-muda.html



No comments: