Tuanku Muhriz Yang Pecat 10 Exco, Tapi Kenapa Abdul Hadi Salahkan PH?

 

IMG_8750

Jangan kerana Abdul Hadi terlalu ghairah hendak menyalahkan PH, orang ramai akhirnya mendapat gambaran yang mengelirukan tentang keputusan Istana.

PENDAPAT, 22 Okt – Haji Hadi ni kalau bercakap pasal PH, kadang-kadang macam semua masalah dalam negara berpunca daripada PH. Sampai keputusan Tuanku Muhriz pun boleh dikaitkan dengan PH.

Dalam perbahasan Parlimen hari ini, Haji Hadi mengaitkan krisis pemecatan 10 Exco Negeri Sembilan dengan kerjasama politik UMNO dan PH.

Masalahnya, yang membatalkan pelantikan 10 Exco itu ialah Tuanku Muhriz. Alasan rasmi yang diberikan pula ialah dakwaan mereka melanggar sumpah taat setia kepada baginda.

Apa kena-mengena PH dengan keputusan itu? Kalau Haji Hadi ada bukti PH mengarahkan pemecatan tersebut, tunjukkan.

Jangan kerana terlalu ghairah hendak menyalahkan PH, orang ramai akhirnya mendapat gambaran yang mengelirukan tentang keputusan Istana.

Haji Hadi bukan orang biasa dalam masyarakat. Dia Presiden PAS dan tokoh agama yang dianggap ulama oleh pengikutnya. Sebab itulah standard akhlak yang masyarakat harapkan daripada beliau sepatutnya lebih tinggi.

Abdul Hadi mendakwa ketakutan kononnya sedang memuncak di pihak kerajaan susulan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) pada 21 Oktober 2026. Foto Parlimen Malaysia

Dalam Islam, ulama bukan sekadar orang yang pandai membaca dalil, menghafal hadis atau menyampaikan kuliah. Ilmu mesti datang bersama amanah, kejujuran dan keadilan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 70 supaya orang beriman bertakwa kepada Allah dan berkata dengan perkataan yang benar.

Dalam Surah al-Ma’idah ayat 8 pula, Allah melarang kebencian terhadap sesuatu kaum menyebabkan seseorang tidak berlaku adil.

Ayat ini bukan untuk dibaca ketika ceramah sahaja. Ia juga perlu diamalkan ketika berpolitik.

Kalau benci PH sekalipun, jangan sampai semua perkara hendak dikaitkan dengan PH tanpa bukti yang jelas.

Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa orang beriman hendaklah berkata yang baik ataupun diam.

Foto bersejarah buat kesekian kali, Tuanku Muhriz murka terhadap Ismail Lasim di Masjid Karah Beting, Kuala Pilah pada 16 Oktober 2026. Foto Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah

Apatah lagi apabila perkara yang diperkatakan menyentuh keputusan seorang Raja Melayu.

Haji Hadi perlu buktikan dia tidak berbohong. Apabila seorang tokoh agama membuat dakwaan politik, beliau bertanggungjawab memastikan dakwaannya berasas dan tidak mengelirukan masyarakat.

Soal sama ada pemecatan 10 Exco itu sah dari sudut perlembagaan, biarlah mahkamah menentukan. Itu isu undang-undang yang berbeza daripada dakwaan bahawa PH menjadi dalang.

Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang, Raja Norazli Raja Nordin berkata Tuanku Muhriz dipilih oleh para Undang dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar ke-11 pada 29 Disember 2008.

Kita boleh tidak bersetuju dengan PH. Kita boleh kritik kerajaan. Tetapi jangan sampai fakta pun terpaksa mengalah kepada kepentingan politik.

Ilmu agama sepatutnya membimbing politik dengan akhlak. Bukan politik yang menentukan bagaimana ilmu agama digunakan.

Kalau orang biasa bercakap tanpa bukti, kita tegur.

Kalau orang bergelar ulama bercakap tanpa bukti, takkan kita kena diam?

Oleh Ahmad Mursi




No comments: