
Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi turun 30 sen seliter mulai 22 Oktober 2026. Foto Azdy John Banah Abdullah
KUALA LUMPUR, 21 Okt – Harga minyak turun lagi buat minggu kedua berturut-turut apabila harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi, turun sebanyak 30 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter bermula tengah malam ini hingga 28 Oktober ini.
Berikutan itu, harga runcit RON97 kini RM4.80 seliter, RON95 (RM4.32) dan diesel (RM5.07).
Kementerian Kewangan, dalam kenyataan berkata walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 (RM408.20) satu tong, harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menyederhana dalam tempoh pengiraan Automatic Pricing Mechanism (APM).
Kenyataan itu berkata, penyusutan harga berkenaan didorong jangkaan peningkatan bekalan dari China, disokong pengeluaran berterusan dari negara Asia lain.
“Paras harga minyak mentah yang kekal tinggi mencerminkan risiko gangguan bekalan susulan konflik geopolitik berterusan.
“Dalam jangka sederhana, harga petroleum dunia dijangka terus tidak menentu,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global itu.
Ia berkata, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, kerajaan dijangka membelanjakan RM40 bilion bagi subsidi bahan api pada tahun hadapan dan ia bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi serta menjamin kelangsungan mata pencarian rakyat.
Katanya, pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter, berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.32 seliter.
“Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.33 seliter, bersamaan 54 peratus daripada harga tanpa subsidi.
“Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.07 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM2.97 seliter atau 59 peratus daripada harga tanpa subsidi,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, harga petroleum bersubsidi dikekalkan adalah RON95 (BUDI95) iaitu RM1.99 seliter, Diesel (BUDI Diesel) (RM2.10 seliter), Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) (RM2.05 seliter) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), (RM2.15 seliter).
Katanya, melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.


No comments:
Post a Comment