
Tangkap layar video tular yang dikongsi Fadhlina di media sosial pada 18 Oktober 2026.
KUALA LUMPUR, 18 Okt – Susulan penyebaran video yang didakwa memanipulasi rakaman ucapannya di Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan peguamnya mengeluarkan notis tuntutan terhadap seorang individu hari ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Fadhlina berkata, video yang disiarkan pada 6 Oktober lalu menggunakan rakaman suaranya ketika berucap mengenai Minggu Solidariti Palestin di Parlimen pada 2023.

Bagaimanapun, ia diambil di luar konteks asal sehingga seolah-olah merujuk kepada insiden keselamatan dan kematian murid di sekolah.
Menurut beliau, perbuatan itu memberikan gambaran yang salah kepada masyarakat apabila kenyataan asal digunakan semula dalam konteks berbeza.
“Saya sentiasa terbuka menerima kritikan terhadap dasar dan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun terdapat perbezaan antara kritikan dengan manipulasi fakta.

“Kebebasan bersuara merupakan hak yang mesti dihormati. Namun, kebebasan tersebut turut menuntut tanggungjawab terhadap kebenaran dan fakta,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Fadhlina berkata, kebebasan bersuara dan perlindungan terhadap reputasi seseorang perlu berjalan seiring dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Kritikan harus terus diraikan. Manipulasi fakta tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Tindakan itu diambil susulan penyebaran video berkenaan yang mengaitkan semula rakaman ucapan beliau dalam konteks isu keselamatan di sekolah.
No comments:
Post a Comment