KUALA LUMPUR - Bintang filem Prebet Lapok, Tawil, 68,
menghembuskan nafas terakhir selepas sesak nafas di kediamannya di Projek
Perumahan Rakyat (PPR), Sri Aman, Kepong, di sini, jam 2.15 pagi ini.
Berita pemergiannya disahkan oleh isteri, Azah Abdul Kahar, 62,
yang berada di sisi ketika arwah meninggal dunia secara mengejut.
"Arwah kejutkan saya minta tolong sapukan minyak pada
bahagian dada apabila sesak nafas secara tiba-tiba, jam 1 pagi.
"Ketika sapukan minyak, nafasnya seperti tercungap-cungap.
"Arwah selalu sesak nafas dan semput, sejak kebelakangan
ini. Sebelum ini, arwah tiada penyakit semput," katanya ketika dihubungi
BH Online.
Allahyarham Tawil atau nama sebenarnya, Abu Bakar Ahmad bukan
hanya dikenali sebagai pelawak pentas, malah banyak membintangi drama dan filem
serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an.
Mula mencipta kemasyhuran menerusi filem Prebet Lapok arahan
Allahyarham Datuk Aziz Sattar, gelagat lucu dan kerenah arwah bersama bintang
utamanya, AR Badul menjadi sebutan ramai.
Malah, gandingan dua bintang dalam filem bergenre patriotik yang
sarat elemen komedi ringan itu mampu meniupkan roh semangat perjuangan
hinggakan ramai anak muda tertarik menyertai pasukan angkatan tentera pada
1979.
Filem Prebet Lapok adalah penampilan pertama arwah menerusi
layar perak pada usia 29 tahun, selepas hampir lapan tahun bergiat aktif dalam
dunia pementasan teater dan bangsawan.
Selain itu, arwah turut membintangi deretan filem hebat seperti
Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga, Penyamun Tarbus dan banyak
lagi.
Sepanjang hidupnya Tawil membintangi kira-kira 500 drama, filem,
teater dan bangsawan sejak usia 19 tahun.
Azah berkata, dia memanggil jiran untuk mengalihkan arwah yang
duduk atas kerusi.
"Saya sempat mengesat air liur yang meleleh, sebelum sibuk
menghubungi anak-anak dan ambulans.
"Arwah renung wajah saya, sebelum pejam mata. Ketika
dialihkan atas katil, arwah masih bernafas, cuma nadinya semakin perlahan.
"Bagaimanapun, pegawai perubatan yang tiba bersama ambulans
mengesahkan arwah sudah tiada. Saya percaya arwah menghembuskan nafas terakhir
atas katil tanpa saya sedari," katanya.
Katanya, dia reda atas pemergian suami, apatah lagi, meninggal
dunia pada pagi Jumaat.
"Bagaimanapun, saya agak sedih mengenangkan arwah sempat
mencapai telefon bimbit ketika nafas tercungap-cungap.
"Saya tahu arwah mahu menghubungi anak-anaknya. Mungkin
mahu bercakap buat kali terakhir, tetapi tidak sempat.
"Apapun, saya reda arwah pergi pada penghulu hari. Arwah
juga pergi dengan tenang dan cukup mudah," katanya yang masih menggeletar
seluruh badan akibat pemergian mengejut suaminya.
AL-FATIHAH.
SUMBER : BERITA HARIAN/Wartawan: Raja Nurfatimah Mawar Mohamed