Terpisah dengan suami akibat PKP, isteri curang dicekup edar dadah bersama kekasih
PETALING JAYA: Seorang wanita yang sudah lama terpisah dengan suaminya akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bukan sahaja bertindak curang, malah mengedar dadah bersama kekasihnya.
Kecurangan ibu beranak dua berusia 30 tahun itu terbongkar apabila dia diberkas bersama kekasih berumur 32 tahun di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru, Melaka, jam 11.10 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Zulkiflee Rashid berkata, ketika serbuan, polis menemui lapan paket lutsinar mengandungi dadah bersama suspek.
“Kesemua peket dipercayai berisi dadah jenis heroin seberat 89.18g itu ditemui di dalam salah sebuah bilik di rumah suspek lelaki.
“Pasukan polis turut menemui tujuh peket plastik syabu seberat 12.15g, enam biji pil Eramin 5 dengan anggaran keseluruhan bernilai RM6,000,” katanya menurut laporan Kosmo.
Tambahnya, beberapa alatan digunakan untuk menghisap syabu dan alat penimbang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah turut dirampas.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai aktif mengedar di kawasan setempat sejak sebulan lalu dan menjadi rumah sewa berkenaan sebagai tempat untuk membungkus dadah.