Jangan buat sidang Parlimen bazir masa
Sidang Parlimen 5 hari yang akan bermula pada 26 Julai ini dianggap ‘menghabiskan masa dan bajet’ oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Bagi Ketua Whip KEADILAN itu, sidang Parlimen mempunyai peraturan tersendiri yang perlu dilaksanakan secara bermaruah meliputi proses perbahasan dan membuat keputusan melalui undian.
Tanpa hal itu dibenarkan berlangsung, katanya, Parlimen akan kehilangan rohnya.
“Harus ada waktu pertanyaan dan dijawab lisan oleh menteri. Kemudian sekiranya ada usul melibatkan kepentingan orang ramai, akan ada penerangan menteri sebagaimana digariskan dalam Peraturan Mesyuarat.
“Isu yang saya bangkitkan, kenapa ada sidang khas ini? Kalau kita terus adakan sidang sebagaimana dititahkan oleh Agong, buat persidangan proper, mengapa tidak? Tuanku Agong boleh datang panjangkan tempoh lebih daripada 5 hari.
“Salah satu agenda mesyuarat ini adalah penerangan menteri maka kerajaan boleh masukkan sahaja dalam agenda mesyuarat. Kalau sidang diteruskan maka ia boleh menjimatkan duit negara.
“Panggil wakil rakyat bersidang kosnya tinggi. Ada kos elaun untuk datang, kena bayar hotel, biasanya Ahli Parlimen duduk hotel mahal, kena bawa pegawai. Sekarang bulan Julai, kemudian Ogos dan September. September nak panggil persidangan lagi? Saya rasa ini sesuatu yang luar biasa (membazir)
“Bagi saya sidang khas ini menghabiskan masa, tidak memenuhi apa yang Tuanku Agong kehendaki. Ini bukan persidangan pun tetapi mesyuarat khas menceritakan hikayat yang akan dilafaskan oleh menteri-menteri, kerana selama 5 hari cuma sesi penerangan oleh menteri,” katanya dalam temubual langsung di Facebook bersama Tok Abah, malam tadi.
Tegas Johari, biarpun dikatakan ada 2 perkara yang akan dibentangkan dalam sidang berkenaan, namun perkataan ‘bentang’ itu sendiri lebih kepada meletakkan dokumen di atas meja dan tidak dijangkakan ada perbahasan.
“Makna bentang ini letak atas meja, debat kah, tak debat boleh dipertikaikan. Macam dia meletakkan laporan Tabung Haji, Keretapi Tanah Melayu untuk ditatapi Ahli Parlimen.
“Sesi penerangan ini mungkin macam Takiyuddin kata, boleh mencelah, bertanya. Tetapi kita Ahli Parlimen masuk Parlimen nak buat keputusan, kalau sekadar mendengar hikayat selepas itu kita komen, kemudian apa keputusannya?
“Tidak ada keputuan dibuat. Kalau panggil nak dengar, kita ada laptop, bagi sahaja link kami di rumah boleh dengar. Untuk apa himpunkan di Parlimen kalau tak boleh ambil bahagian mengundi?” soalnya.
Mengenai pilihan mengadakan sidang Parlimen hibrid, ADUN Gurun itu berkata, tidak ada masalah untuk beralih kepada format seperti itu.
Menurut beliau, mahkamah yang lebih rumit tatacara persidangannya boleh dibuat melalui aplikasi zoom, mengapakah sidang yang lebih mudah seperti Parlimen dianggap sukar untuk dibuat secara hibrid
“Kononnya kita tidak boleh adakan sidang hibrid ini, masalahnya perundangan, masalah teknikal. Tetapi kita sedar atau tidak mahkamah sekarang ini melalui zoom.
“Maknanya kalau mahkamah sendiri telah dizoom, perbicaraan berlaku secara zoom, yang lebih teknikal melibatkan undang-undang, apatah lagi Parlimen ini. Benda yang simple kalau nak buat.
“Saya anggap tidak ada keberanian, kesungguhan untuk kerajaan melaksanakan sidang hibrid ini,” katanya lagi.