INNALILLAH- PREBET TAWIL MENINGGAL DUNIA

 

May be an image of 4 people and outdoors


KUALA LUMPUR - Bintang filem Prebet Lapok, Tawil, 68, menghembuskan nafas terakhir selepas sesak nafas di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Sri Aman, Kepong, di sini, jam 2.15 pagi ini.

Berita pemergiannya disahkan oleh isteri, Azah Abdul Kahar, 62, yang berada di sisi ketika arwah meninggal dunia secara mengejut.

"Arwah kejutkan saya minta tolong sapukan minyak pada bahagian dada apabila sesak nafas secara tiba-tiba, jam 1 pagi.

"Ketika sapukan minyak, nafasnya seperti tercungap-cungap.

"Arwah selalu sesak nafas dan semput, sejak kebelakangan ini. Sebelum ini, arwah tiada penyakit semput," katanya ketika dihubungi BH Online.

Allahyarham Tawil atau nama sebenarnya, Abu Bakar Ahmad bukan hanya dikenali sebagai pelawak pentas, malah banyak membintangi drama dan filem serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an.

Mula mencipta kemasyhuran menerusi filem Prebet Lapok arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, gelagat lucu dan kerenah arwah bersama bintang utamanya, AR Badul menjadi sebutan ramai.

Malah, gandingan dua bintang dalam filem bergenre patriotik yang sarat elemen komedi ringan itu mampu meniupkan roh semangat perjuangan hinggakan ramai anak muda tertarik menyertai pasukan angkatan tentera pada 1979.

Filem Prebet Lapok adalah penampilan pertama arwah menerusi layar perak pada usia 29 tahun, selepas hampir lapan tahun bergiat aktif dalam dunia pementasan teater dan bangsawan.

Selain itu, arwah turut membintangi deretan filem hebat seperti Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga, Penyamun Tarbus dan banyak lagi.

Sepanjang hidupnya Tawil membintangi kira-kira 500 drama, filem, teater dan bangsawan sejak usia 19 tahun.

Azah berkata, dia memanggil jiran untuk mengalihkan arwah yang duduk atas kerusi.

"Saya sempat mengesat air liur yang meleleh, sebelum sibuk menghubungi anak-anak dan ambulans.

"Arwah renung wajah saya, sebelum pejam mata. Ketika dialihkan atas katil, arwah masih bernafas, cuma nadinya semakin perlahan.

"Bagaimanapun, pegawai perubatan yang tiba bersama ambulans mengesahkan arwah sudah tiada. Saya percaya arwah menghembuskan nafas terakhir atas katil tanpa saya sedari," katanya.

Katanya, dia reda atas pemergian suami, apatah lagi, meninggal dunia pada pagi Jumaat.

"Bagaimanapun, saya agak sedih mengenangkan arwah sempat mencapai telefon bimbit ketika nafas tercungap-cungap.

"Saya tahu arwah mahu menghubungi anak-anaknya. Mungkin mahu bercakap buat kali terakhir, tetapi tidak sempat.

"Apapun, saya reda arwah pergi pada penghulu hari. Arwah juga pergi dengan tenang dan cukup mudah," katanya yang masih menggeletar seluruh badan akibat pemergian mengejut suaminya.

AL-FATIHAH.

SUMBER : BERITA HARIAN/Wartawan: Raja Nurfatimah Mawar Mohamed