
Keadaan jerebu teruk melanda Singapura hingga laluan kapal laut juga terjejas dari daratan pada 15 Oktober 2026. Foto AFP
SINGAPURA, 15 Okt – Bahagian barat Singapura terus merekodkan bacaan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) pada tahap sangat tidak sihat akibat jerebu.
Sementara itu kadar zarah terampai mencatat bacaan PM2.5 setiap jam, turut menunjukkan peningkatan ketara di seluruh negara itu.
Semalam, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (National Environmental Agency – NEA) dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan Singapura mula mengagihkan pelitup muka susulan keadaan jerebu yang semakin buruk.

NEA berkata, pengagihan pelitup muka dimulakan selepas paras PM2.5 mencapai tahap sangat tinggi, selain mengambil kira kemungkinan bacaan PSI 24 jam memasuki kategori sangat tidak sihat, iaitu melebihi 200.
Persatuan Penduduk (PA) turut membantu mengagihkan pelitup muka N95 kepada penduduk Singapura yang rentan termasuk warga emas, wanita hamil, kanak-kanak dan remaja serta individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma.
Bagi melengkapi pengagihan oleh PA, mesin layan diri pelitup muka turut disediakan di 37 hab pengangkutan awam dan pejabat perkhidmatan sosial.

Pada masa sama, bilik berhawa dingin di kelab masyarakat dan beberapa pusat jawatankuasa penduduk akan dibuka bagi membolehkan penduduk berlindung daripada keadaan berjerebu.
Lebih 300 kelab masyarakat (CC), pusat jawatankuasa penduduk dan pusat rangkaian penduduk turut menyediakan bilik berhawa dingin sebagai pusat perlindungan jerebu untuk orang ramai.
Sehingga jam 10 malam tadi, bacaan PSI di semua kawasan Singapura berada pada tahap tidak sihat, antara 189 hingga 276.

Bagaimanapun, bacaan di bahagian barat meningkat kepada 210, sekali gus mencatatkan paras tertinggi di kawasan berkenaan bagi musim jerebu ini.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesyorkan penggunaan pelitup muka setara dengan N95 termasuk KN95, FFP2 dan KF94.
No comments:
Post a Comment