Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan Belanjawan MADANI 2027 perlu berpaksikan kecekapan tadbir urus, kebijaksanaan mengurus sumber negara serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Perdana Menteri berkata, pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf AS wajar dijadikan pedoman dalam merangka dasar dan melaksanakan belanjawan negara, khususnya berkaitan perancangan ekonomi, pengurusan bekalan makanan serta persediaan menghadapi cabaran masa depan.
Menurutnya, kisah Nabi Yusuf AS bukan sekadar membawa pengajaran mengenai kesabaran dan keteguhan iman, malah mengandungi iktibar besar tentang kebijaksanaan kepimpinan dalam mengurus sumber ketika berdepan zaman kemarau dan kesukaran.
“Kisah Nabi Yusuf AS bukan sekadar mengajar tentang kesabaran dan keteguhan iman, tetapi turut membawa iktibar besar dalam soal kepimpinan dan pentadbiran negara, khususnya kebijaksanaan mengurus sumber, merancang bekalan makanan serta membina daya tahan ekonomi ketika berdepan kemarau,” katanya.
Anwar yang juga tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 di dunia itu berkata demikian menerusi hantaran di media sosial rasminya selepas menghadiri Majlis Ilmu MADANI yang mengetengahkan penghayatan Tafsir Surah Yusuf malam tadi.
Kepentingan rakyat
Beliau menegaskan bahawa pengajaran tersebut amat relevan dalam memastikan setiap dasar dan peruntukan Belanjawan MADANI 2027 dilaksanakan dengan penuh amanah serta mengambil kira kepentingan rakyat.
“Pengajaran ini wajar dijadikan pedoman dalam merangka dasar dan melaksanakan Belanjawan MADANI 2027, dengan kecekapan tadbir urus, kesejahteraan rakyat dan kemaslahatan ummah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Majlis berkenaan turut menampilkan syarahan ulama tersohor dari Türkiye, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Fadhil al-Jilani al-Hasani, yang mengupas pengajaran daripada Surah Yusuf.
Dalam hantaran sama, Anwar turut mengenang jasa dan bimbingan ulama berkenaan yang pernah memberikan kekuatan kepadanya ketika melalui tempoh sukar suatu ketika dahulu.
Beliau berharap masyarakat terus mengambil iktibar daripada kisah para nabi, khususnya dalam memperkukuh amanah kepimpinan dan menjadikan setiap usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagai suatu tanggungjawab yang mesti ditunaikan.
“Moga kita terus mengambil iktibar daripada kisah para anbiya, memperkukuh amanah dalam kepimpinan dan menjadikan setiap ikhtiar demi kesejahteraan rakyat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab yang dipikul,” kata Anwar lagi.

No comments:
Post a Comment