SOKONG WAN ROSDY DI PAHANG, BERSATU CARI JALAN SELEPAS GAGAL GANTI UMNO - PENGANALISIS

 









PETALING JAYA: 27 Ogos -- Sokongan dua Adun Bersatu kepada Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mungkin mencerminkan perubahan strategi parti itu selepas menyedari ia belum mampu menggantikan UMNO sebagai kuasa utama politik Melayu, kata penganalisis.
Syaza Shukri berkata Bersatu kini perlu berdepan realiti bahawa usaha itu tidak mencapai matlamat seperti diharapkan, lebih-lebih lagi selepas parti itu mencatat prestasi buruk pada PRN Johor dan Negeri Sembilan apabila kalah (55 calon hilang wang deposit) di semua kerusi ditandingi.
“Realitinya Bersatu memang tidak mampu menggantikan UMNO.
“Jadi kalau tidak boleh menewaskan UMNO mungkin pendekatannya bekerjasama dengan mereka,” kata penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kepada FMT.
Bagaimanapun, Syaza berkata langkah mendekati UMNO juga membawa risiko dan mungkin menjadikan Bersatu rakan ‘junior’ selain bersaing dalam ruang politik Melayu yang sama.
Semalam, Adun Kuala Sentul Jasri Jamaludin dan Adun Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus menyokong kepimpinan Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO sehingga PRN akan datang.
Mereka menyatakan pendirian itu sudah dipersetujui pucuk pimpinan Bersatu, mengambil kira keperluan menjamin kestabilan politik negeri.
Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata sokongan itu menjadi lebih signifikan kerana ia mendapat restu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Beliau juga berkata perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks kedudukan Bersatu yang kecil dalam Perikatan Nasional (PN) Pahang berbanding PAS yang mempunyai 15 Adun.
Walaupun keduanya dalam PN, namun PAS telah memutuskan hubungan dengan Bersatu.
“Kedudukan parti itu semakin tersepit dalam gabungan berkenaan,” kata Azmi.
Mazlan Ali pula berpandangan langkah itu bukan semata-mata berkaitan isu peruntukan kawasan kerana jika faktor itu menjadi punca, perubahan pendirian mungkin berlaku lebih awal seperti berlaku terhadap beberapa Ahli Parlimen Bersatu di peringkat Persekutuan.
“Tindakan itu lebih kepada mesej politik bahawa Bersatu mahu menunjukkan ia masih mempunyai ruang untuk bekerjasama di luar PN.
“Mungkin juga isyarat awal Bersatu mahu membuka hubungan dengan kerajaan perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH),” kata penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
Pada PRU15, BN yang menang 17 DUN membentuk kerajaan Pahang bersama PH dengan tujuh kerusi.




No comments: