Mekanisme pelarasan gaji penjawat awam diumum bulan depan



 Penjawat awam yang hadir di Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 14 Jun 2024. - Foto fail NSTP
Penjawat awam yang hadir di Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 14 Jun 2024. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan serentak dengan pelancaran Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijadualkan bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata perkara itu dijangka diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19.

"Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan berkenaan pelaksanaan SSPA yang menjelaskan mekanisme berkenaan," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perincian berhubung mekanisme kenaikan gaji penjawat awam termasuk kajian kebolehlaksanaan yang telah dijalankan serta sumber tambahan yang dianggarkan mencecah RM10 bilion bagi tujuan menampung unjuran peningkatan belanja mengurus.

Dr Zaliha berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Pekerja 2024 telah mengumumkan pemberian pelarasan gaji kepada penjawat awam.

Beliau berkata pemberian pelarasan gaji kali ini juga dijangka lebih tinggi berbanding pelarasan gaji terakhir yang diterima oleh penjawat awam pada 2012 iaitu sebanyak 13 peratus.

"Keputusan ini telah mengambil kira pelbagai aspek sosial dan ekonomi serta kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

Perdana Menteri pada bulan lalu dilaporkan berkata perincian berhubung kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober ini.

Anwar berkata, perkara itu penting kerana sudah terlalu lama penjawat awam tidak menikmati kenaikan gaji yang setaraf dengan kerja keras mereka selama ini.




No comments: