AKTA LOMPAT PARTI TERANG-TERANG TELAH DIBAKUL-SAMPAHKAN, MP BLOK KERAJAAN KINI TERBUKA UNTUK TARIK SOKONGAN


Tidak ada rakyat Malaysia yang waras dan kepalanya tak masuk air yang dapat menerima keputusan Speaker Parlimen, Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi Parlimen yang wakil rakyat telah terhenti keahliannya daripada Bersatu kerana tidak patuh kepada kehendak serta pendirian parti dengan menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Alasan Johari memutuskan tiada kekosongan enam kerusi terbabit dengan menyatakan peraturan Bersatu yang membatalkan keanggotaan ahli yang tidak mengikut kehendak parti adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan peraturan Parlimen yang menjamin kebebasan Ahli Parlimen untuk bersuara, berbahas dan mengundi, langsung tidak boleh diterima.


Johari terbukti telah membuat kesimpulan songsang dalam keputusannya tanpa mengambil kira kewujudan Akta Lompat Parti serta ketetapan dalam Akta Pendaftar Pertubuhan.


Terbukti juga Johari tidak bertindak adil dalam keputusannya, tetapi lebih ternampak untuk menyelamatkan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri selepas calon PKR kalah teruk dalam PRK Dun Sungai Bakap, 6 Julai lalu.


Dengan hujah serta alasan yang diberi Johari, beliau secara terang-terang menunjukkan Akta Lompat Parti yang diperjuangkan PKR dan Anwar selepas Langkah Sheraton, sudah menjadi hampas yang layak diletakkan dalam bakul sampah.


Akta Lompat Parti sepatutnya difahami dan dihormati secara tersurat dan tersirat adalah bagi mengelakkan berlakunya Ahli-Ahli Parlimen yang khianat kepada parti.


Hakikatnya, pengkhianatan enam Ahli Parlimen Bersatu ini tiada beza sama sekali dengan Ahli Parlimen PKR yang khianat dalam Langkah Sheraton dahulu.


Malah, suatu kelebihan lagi apabila tindakan enam Ahli Parlimen ini semacam direstui oleh Speaker, sementara ketika Langkah Sheraton dahulu belum wujud lagi Akta Lompat Parti.


Harus difahami, mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berkaitan Akta Lompat Parti, jika seseorang ahli Dewan Rakyat tidak lagi menjadi anggota parti politik, maka kerusinya adalah dikira kosong.


Perlembagaan Bersatu yang dipinda 2 Mac lalu pula membabitkan tiga perkara bawah Fasal 10 iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian ahli parti, dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.


Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli Bersatu yang menjadi wakil di Dewan Rakyat atau DUN yang tidak patuh apa-apa arahan dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi atau MPT selari dengan Fasal 10.5, disifatkan terhenti keahlian daripada parti itu secara serta-merta.


Perkara 10.5 menyatakan MPT boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakilnya di Dewan Rakyat atau DUN dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.


Perkara 10.6 merujuk Fasal 10.4, iaitu Setiausaha Agung atas arahan MPT hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan bagi memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti.


Selain itu, peruntukan dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan dengan jelas menyebut bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik “adalah muktamad dan konklusif”.


Apa yang lebih buruk, Anwar, PKR dan PH yang memperjuangkan Akta Lompat Parti sehingga ia menjadi undang-undang, tetapi hanya setelah tidak sampai dua tahun, Speaker pilihan Anwar, PKR dan PH sendiri yang akhirnya mencabuli akta tersebut.


Sama seperti janji turun harga minyak dan janji reformasi yang telah dikhianati, nampaknya satu lagi perjuangan Anwar, PKR dan PH iaitu Akta Lompat Parti telah dicabuli demi ketakutan kehilangan kuasa sebagai kerajaan.


Selepas ini, Akta Lompat Parti tidak bermakna apa-apa lagi kerana sebagaimana Ahli Parlimen blok pembangkang boleh menyokong Perdana Menteri dan kerajaan, Ahli Parlimen blok kerajaan juga tidak terhalang lagi untuk menarik sokongan atau tidak mengundi sebarang Rang Undang-Undang yang dibawa kerajaan di Parlimen.


Keputusan Speaker ini dengan sendirinya telah membuka ruang untuk Ahli-Ahli Parlimen blok kerajaan menukar pendirian, malah menjatuhkan kerajaan.


Langkah permulaan mungkin boleh dilakukan dengan mereka tidak menyokong dan tidak mengundi Belanjawan 2025 sebelum hujung tahun nanti.


Ada ubi ada batas, Insya Allah kecurangan sikap dan kepuraan-puraan dalam perjuangan yang dipamerkan suci pasti akan ada balasannya. – ShahbudinHusin 10Julai2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/07/10/akta-lompat-telah-dibakul-sampahkan-mp-blok-kerajaan-kini-terbuka-untuk-tarik-sokongan.html



No comments: