
Kewujudan premis haram di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti dibendung segera bagi mengelakkan imej negara tercalar. Foto DBKL
PENDAPAT, 9 Okt – Persoalan mengenai keadilan ruang bandar sering kali mencetuskan perdebatan hangat di Kuala Lumpur, terutamanya apabila ia menyentuh isu penjaja tepi jalan yang beroperasi di zon kelabu perundangan.
Di satu sudut, kita melihat ketegasan pihak berkuasa terhadap premis komersial berlesen; di sudut yang lain, kelompok peniaga tertentu terus berniaga di sempadan rizab awam dengan berselindung di sebalik surat kebenaran yang dipertikaikan kesahihannya.

Senario ini lazimnya bermula di kawasan sekitar flat kos rendah atau Projek Perumahan Rakyat (PPR). Deretan gerai yang didirikan menggunakan struktur separa kekal sering kali menduduki kawasan anjung bangunan atau menghadap jalan utama.
Bagi segelintir pihak, kehadiran warung-warung ini dilihat sebagai kemudahan harian komuniti setempat. Namun, bagi pembayar cukai dan pemilik premis perniagaan sah yang terikat dengan pelbagai syarat pematuhan ketat, situasi ini mencerminkan jurang dwi-standard yang ketara dalam landskap pentadbiran bandar.

Apabila aduan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), jawapan yang kerap diterima berkisar pada isu bidang kuasa.
Peniaga yang mendirikan struktur di sempadan lot strata sering kali mengemukakan surat sokongan atau kebenaran daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Persatuan Penduduk setempat.

Dokumen inilah yang dijadikan ‘perisai sakti’ untuk menangkis sebarang tindakan awal daripada penguat kuasa bandar raya.
Dari sudut perundangan, kedudukan surat-surat sedemikian sebenarnya adalah satu penipuan terang-terangan. Di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Act 757), mandat utama sesebuah JMB terhad kepada pengurusan dan penyelenggaraan harta bersama penduduk dalam lingkungan skim strata tersebut.

Mereka tidak mempunyai bidang kuasa mutlak untuk meluluskan sebarang struktur perniagaan komersial di luar sempadan lot atau mengambil alih kawalan rizab jalan raya yang terletak di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan.
Begitu juga dengan Persatuan Penduduk yang ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan 1966, di mana fungsi mereka berteraskan aktiviti kemasyarakatan dan sosial, bukannya pengurusan tanah atau perancangan bandar.

Walau bagaimanapun, undang-undang utama yang mengawal selia ruang awam, seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), memberikan garis panduan yang jelas mengenai larangan pembinaan struktur tanpa kelulusan pelan rasmi, terutamanya di atas rizab parit dan laluan pejalan kaki.
Cabaran yang dihadapi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukan sekadar isu perundangan semata-mata, tetapi turut berdepan dengan tekanan persepsi awam yang semakin meruncing akibat ketakutan menghadapi video tular di media sosial.

Sering kali, operasi penguatkuasaan dipatahkan apabila segelintir pihak merakam video pendek dan memuat naiknya ke alam maya tanpa memaparkan konteks sebenar, melukiskan pihak berkuasa sebagai pihak yang kejam. Akibat takut ditekan netizen, DBKL kerap mengambil jalan mudah untuk berundur dan membiarkan ketidakaturan ini berterusan.
Namun, mengemudi sebuah metropolis seperti Kuala Lumpur menuntut ketegasan, bukannya pandangan yang mencair akibat sentimen murahan.

Usaha kerajaan menerusi inisiatif nasional seperti Lestari Niaga untuk menaik taraf pusat penjaja dengan peruntukan jutaan ringgit membuktikan bahawa negara komited menyediakan ruang perniagaan yang bersih, selamat, dan teratur.
Matlamat dasarnya jelas: menyusun semula ekosistem penjaja agar tidak lagi bergantung kepada struktur haram di tepi jalan yang merosakkan sistem perparitan dan lalu lintas bandar.

Sudah tiba masanya DBKL membuang sikap penakut, merobohkan benteng palsu JMB, dan menghentikan sandiwara pekak badak ini.
Penguatkuasaan yang adil, tegas, dan berlandaskan undang-undang yang saksama bukan sahaja memelihara imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya terbilang, malah menuntut keadilan mutlak buat seluruh warga kota yang taat pada peraturan.
Oleh Lai Chen Heng
Mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment