Pembebasan Zahid: Keputusan dihormati, Peguam Negara wajar jelaskan keadaan




Parti Amanah Negara (Amanah) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi semalam.


Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, keputusan itu dihormati atas prinsip Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law) yang didukung oleh Amanah selama ini.


"Amanah yakin bahawa proses perundangan dan prosiding mahkamah di sepanjang perjalanan kes ini telah pun dicermati dan diadili oleh Yang Arif Hakim," kata beliau dalam kenyataan.


Bagaimanapun menurut Dr Hatta, parti itu mahu Peguam Negara memberikan penjelasan lanjut mengenai pembebasan tersebut untuk menjawab kritikan awam dan bagi mengekalkan keyakinan rakyat ke atas institusi perundangan negara.


"Amanah ingin menzahirkan pandangan atas dasar integriti dan kebertanggungjawaban supaya Peguam Negara atau Jabatan Peguam Negara memberikan suatu penjelasan terperinci mengenai hujah atau alasan yang mendorong kepada keputusan tersebut.


"Amanah percaya dengan penjelasan terperinci tersebut akan dapat memberikan pencerahan kepada semua pihak dan sekaligus mengangkat integriti institusi undang-undang negara, khususnya Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata Dr Hatta lagi.


 

No comments: