Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menyifatkan hubungan Malaysia dan Indonesia melangkaui bidang diplomatik dan ekonomi malah turut mencakupi seni budaya, seiring dengan konsep Kerajaan Madani.
Bercakap kepada media selepas menghadiri program bersama
pempengaruh dan selebriti di Jakarta malam tadi, beliau berkata, selain
hubungan dua hala diplomatik dengan pentadbiran Presiden, Joko Widodo serta
interaksi dengan pengusaha dan pelabur, pemerkasaan seni budaya turut diberi
perhatian.
"Saya mendapatkan juga pengalaman mereka dan cadangan untuk
tingkatkan hubungan dua hala, juga memperkasa seni budaya," katanya
dipetik.
Program ‘Santai Bersama Anwar’ dihadiri seniman, seniwati dan
pempengaruh terkemuka Indonesia termasuk Mulan Jameelah, Maruli dan Bara
Tampubolon, Kartika Putri, Habib Usman, Selvi Kitty serta Melly Goeslow selain
artis Malaysia, Fazura.
Antara perkara yang dibincang pada pertemuan itu ialah usaha
memperjuang nasib golongan artis, menjadikan seni budaya sebagai medium dakwah,
kerjasama artis kedua-dua negara dan peranan mereka dalam menjaga hubungan
harmonis dua negara.
Program malam tadi diadakan sempena kehadiran Anwar ke negara
jiran itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang bermula hari ini
hingga 7 September.
Anwar turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala
bersama Rakan Dialog ASEAN antaranya Australia, China, Jepun, India, Korea
Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.