MAAF SAIFUDDIN, ZAHID HAMIDI BEBAS TAK SAMA DENGAN MAHIADDIN BEBAS



Dalam cubaan untuk mempertahankan Ahmad Zahid Hamidi yang beroleh pembebasan daripada semua tuduhan mahkamah yang dihadapinya, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menyamakannya dengan kes Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin yang baru-baru ini dibebaskan daripada empat pertuduhan rasuah bernilai RM232.5 juta.


Setiausaha Agung PKR itu berkata, apa yang berlaku Timbalan Perdana Menteri itu adalah keputusan mahkamah – sama seperti bagaimana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Mahiaddin daripada pertuduhan salah guna kuasa pada 15 Ogos lalu.


“Keputusan dibuat mahkamah, “due process”. Seperti beberapa minggu lepas, mahkamah juga bebaskan Mahiaddin.


“Jadi, kalau hari ini mahkamah buat keputusan yang sama, maka itulah keputusan mahkamah,” tegas Saifuddin lagi.


Berita penuh kenyataan beliau itu ada di sini – https://m.malaysiakini.com/news/677999


Benarkah ia sama?


Mahiaddin dibebaskan oleh mahkamah sebelum ini berikutan usul yang difailkan oleh pasukan peguambelanya kerana mendakwa empat tuduhan berkenaan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.


Ini berikutan, dakwa pasukan peguambelanya, tiada mana-mana satu pun daripada empat tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.


Ini sebenarnya lebih merupakan masalah teknikal, tetapi disebabkan ia dirasakan boleh menjejaskan proses keadilan, Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan membenarkan permohonan pasukan peguambela Mahiddin itu untuk membatalkan empat pertuduhan berkenaan.


Namun demikian, Peguam Negara Idrus Harun dengan segera memfailkan rayuan pada petang hari sama Mahkamah Tinggi membuat keputusan membebaskan Mahiaddin itu.


Dalam kenyataan media kemudian, beliau menjelaskan, keputusan mahkamah melepaskan Mahiaddin hanya melibatkan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Bagaimanapun, katanya, tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 adalah kekal.


“Tarikh sebutan bagi rayuan kes ditetapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 September depan,” kata Idrus lagi.


Berbeza dengan kes Zahid Hamidi, beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada semua 47 kes mahkamahnya adalah berikutan pihak pendakwa sendiri mengemukakan permohonan kepada mahkamah.


Memang hakim yang membuat keputusan, tetapi keputusan itu dibuat kerana beliau tiada pilihan lain lantaran pasukan pendakwa sendiri yang memohon perbicaraan tidak lagi diteruskan dan Zahid Hamidi dibebaskan.


Macam mana hakim nak teruskan perbicaraan kalau pendakwa tidak mahu meneruskan kes?


Keadaan ini tidak sama dengan kes Mahiaddin di mana hakim membuat keputusan berdasarkan usul untuk membatalkan kes yang dikemukakan pasukan peguambela.


Sebab itu, dalam kes Mahiaddin, sebaik saja hakim membuat keputusan, rayuan segera difailkan oleh pasukan pendakwa daripada Jabatan Peguam Negara.


Tetapi, dalam kes Zahid Hamidi, oleh kerana pendakwa sendiri yang memohon tertuduh dibebaskan, bermakna tiada apa-apa rayuan lagi boleh difailkan.


Dalam bahasa lain, kes KHALAS!!


Di samping itu dan barangkali yang terpenting sekali, Mahiaddin dibebaskan ketika kesnya masih lagi belum bermula.


Mengemukakan usul untuk pembatalan sebelum kes bermula di mahkamah adalah amalan biasa di mana dalam banyak kes lain seperti pertuduhan rasuah melibatkan Wan Saiful Wan Jan dan Azeez Rahim sebeum ini, pasulan peguambela mereka juga melakulan perkara yang sama.


Cumanya, kalau ada asasnya, maka itu akan diterima dan jika tidak, ia akan ditolak oleh hakim.


Berlainan dengan kes Zahid Hamidi, beliau dipohon agar dibebaskan secara DNAA oleh pendakwa dalam keadaan perbicaraan sedang berjalan, bahkan sudah pun memasuki peringkat membela diri.


Tidakkah apabila sesuatu kes sudah memasuki peringkat membela diri, ia bermakna pihak pendakwa telah berjaya membuktikan asas pertuduhan yang kukuh untuk mensabitkan seseorang tertuduh dengan kesalahan yang didakwa terhadapnya?


Lantaran itulah, tindakan pasukan pendakwa dalam kes Zahid Hamidi ini terlihat pelik, janggal dan mungkin yang pertama berlaku di negara kita melibatkan kesalahan rasuah.


Jadi maaflah Saifuddin, kes Zahid Hamidi tidak sama dan tidak boleh disamakan dengan kes Mahiaddin.


Cuma satu saja, kalau RTM masih ada lagi slot Hari Ini Dalam Sejarah – elok juga peristiwa pembebasan Zahid Hamidi ini disiarkan dalam program berkenaan untuk ingatan anak cucu kita semua agar mereka tahu inilah “indahnya” Malaysia. – ShahbudinHusin 05/09/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: