Tiga pemimpin yang diambil
tindakan oleh MT UMNO baru-baru ini secara umumnya hanyalah kerana mereka
merupakan pengkritik kepada Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
Tajuddin Abdul Rahman, Ketua UMNO merangkap Ahli Parlimen Pasir
Salak, sebelumnya adalah penyokong kuat Zahid Hamidi dan berikutan kalah
bertanding Naib Presiden UMNO pada pemilihan 2018, beliau dilantik sebagai Ahli
MT dan Pengarah Pilihanraya BN.
Tetapi, setelah
kecenderungannya beralih arah dan memihak kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri
Yaakob serta mengkritik Zahid Hamidi, semua jawatan politik lantikan yang
dipegangnya segera ditarik balik.
Tajuddin secara terbuka pernah mengadakan sidang media
mengkritik Zahid Hamidi berhubung kemelut politik semasa, termasuk mengenai
sokongan Presiden UMNO itu kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.
Penggantungannya selama enam tahun yang diputuskan oleh MT UMNO
pada 30 September lalu secara mudahnya adalah tindakan untuk menggugurkannya
daripada terus dicalonkan sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak.
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail yang turut
digantung selama enam tahun adalah juga ialah kerana tindakannya yang kerap
mengkritik Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, tidak seperti
Tajuddin, Mohd Yusof mendakwa, beliau hanya mengkritik Presiden UMNO itu secara
tertutup dalam ruang sembang Grup Whatsapp saja.
Mengakui dirinya adalah penyokong kuat Ismail Sabri, ternampak
seperti tiada sebab lain Mohd Yusof digantung keahliannya melainkan kerana
kritikannya terhadap Zahid Hamidi.
Sama seperti Tajuddin, penggantungan keahlian Mohd Yusof adalah
untuk menjadikan beliau tidak layak dipilih sebagai calon mewakili UMNO dan BN
dalam PRU15 akan datang.
Bagaimanapun, berbeza dengan Zaharin Md Yasin, seorang Ketua
UMNO Cawangan dalam Bahagian Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang diketahui
kerap mengkritik Zahid Hamidi melalui tulisan dan video di media sosial, beliau
sebaliknya dipecat terus keahliannya daripada UMNO.
Zaharin secara berterus-terang
mengatakan beliau dipecat adalah kerana kritikannya kepada Zahid Hamidi dan
menambah, akan memperhebatkan lagi serangannya setelah bukan lagi merupakan
ahli UMNO selepas ini.
Secara mudah untuk difahami, ketiga-tiga mereka yang diambil
tindakan oleh MT UMNO pada mesyuarat 30 September lalu adalah kerana dosa
mereka mengkritik Presiden UMNO.
Namun, sepertimana kita semua sedia maklum, selain Zahid Hamidi
yang menjadi sasaran kritikan ahli UMNO, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri
turut tidak terkecuali menerima nasib yang sama.
Selain melalui tulisan di media sosial, terdapat juga individu
tertentu daripada UMNO yang membuat live FB setiap malam untuk mengkritik dan
kadang-kadang lebih sesuai dikatakan membalun Perdana Menteri.
Yang peliknya, tidak pernah pun mereka itu diambil tindakan atau
sekurang-kurangnya diberi amaran oleh UMNO, walhal Perdana Menteri yang menjaga
negara adalah daripada UMNO dan mewakili UMNO.
Kenapa pengkritik Perdana Menteri tidak diambil tindakan oleh
UMNO, berbeza dengan pengkritik Presiden UMNO?
Apakah Perdana Menteri daripada UMNO yang menjaga 32 juta rakyat
tidak wajar diberi perlindungan oleh parti berbanding Presiden UMNO yang hanya
menjaga 3.4 juta ahli?
Apakah mengkritik Presiden UMNO yang hanya menjaga sedikit orang
lebih besar dosanya daripada mengkritik Perdana Menteri yang bertanggungjawab
menjaga seluruh rakyat negara ini?
Di manakah sebenarnya kemuliaan
dan ketinggian institusi Perdana Menteri berbanding institusi Presiden di mata
UMNO?
Kalau Perdana Menteri daripada UMNO pun tidak dimuliakan dan
ditinggikan darjatnya oleh UMNO, siapa lagi yang diharapkan berbuat demikian?
Apakah jika Perdana Menteri adalah Presiden UMNO, maka hanya
pada ketika itu perlindungan seimbang dapat diperolehinya? –
ShahbudinHusin 02/09/2022.