By MOHD ALI
HASHIM / October 3, 2022
Memalukan. Itu saja yang
dapat dizahirkan apabila konsert hiburan diadakan di dataran berhadapan Masjid
Zahir, Alor Setar, Kedah.
Lebih menyedihkan
apabila konsert yang diadakan berhadapan dengan masjid tersebut juga
menempatkan Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah di belakangnya dan ia
memberi imej buruk kepada kedua-dua institusi yang ternyata tidak mampu
menyekat kewujudan program sedemikian.
Festival usahawan muda-mudi
yang dinamakan ‘Muda Mudi Weekend Fest’ diadakan di tapak Balai Seni pada
Jumaat 30 September hingga Sabtu 1 Oktober 2022 mulai jam 12 tengahari hingga
12 tengah malam.
Festival tersebut juga turut
mendapat kebenaran menganjur dari pihak polis, Majlis Bandaraya Alor Setar
serta Pejabat Daerah Kota Setar.
Penganjur
bersama ialah Collective Biggy dengan kerjasama Balai Seni Alor Setar, dengan
pengisian pasar kopi sehari, demonstrasi ‘little art’, OSBMX Show Bike
Competition serta persembahan dari artis tempatan.
Manakala
artis yang terlibat dalam surat kebenaran adalah kumpulan The Highbiscus
Gerhans Skacinta, Naratu, Joe (Purevibracion) dan DJ Alakazam X Dj Slick Z.
Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri
Kedah, Dato Dr Ismail Salleh ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri Kedah
serta agensi pihak berkuasa yang terlibat tidak sepatutnya menzahirkan ‘kesal,
kesal dan kesal’ setiap kali berlakunya insiden yang memalukan seperti ini.
Malah
kata beliau, baru saja isu pertunjukan fesyen, tunjuk ‘body’ buka aurat dan
pelbagai program memalukan negeri Kedah berlalu, tapi hanya luahan ‘kesal aja’
yang mampu dizahirkan oleh kerajaan negeri maupun pihak berkuasa yang terlibat,
sebaliknya tiada tindakan drastik yang diambil.
Sehubungan itu ujar beliau, jelas terbukti Kedah bukan saja tercalar imejnya, tetapi juga amat memalukan apabila kerajaan negeri yang didakwa memperjuangkan imej Islam, kaku dan layu tidak bermaya serta longlai tanpa hala tuju.