UMNO BERCITA-CITA MAHU MENANG, TAPI ZAHID HAMIDI MAKIN MENAMBAH MUSUH


Mesyuarat MT UMNO dua hari lalu secara umumnya hanyalah bertujuan untuk memuktamadkan desakan kepada Perdana Menteri bahawa PRU15 mesti diadakan pada tahun ini.

Mesyuarat itu seterusnya disusuli dengan kejayaan menetapkan agar Ismail Sabri Yaakob mengadap Yang Dipertuan Agong dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama bagi mempersembahkan cadangan tarikh Parlimen dibubarkan.

Dalam hal ini, adalah dijangka tarikh beliau mengadap Agong ialah selepas Belanjawan 2023 dibentangkan pada 7 Oktober depan.

Sebagaimana ditulis dalam artikel sebelum ini, Ismail Sabri dipercayai akan mengadap Agong pada 10 Oktober dan kemudian pengumuman Parlimen dibubarkan dilakukan pada Rabu, 12 Oktober iaitu selepas mesyuarat kabinet diadakan.

Salah seorang Naib Presiden UMNO, Mahadzir Khalid mengesahkan bahawa Ismail Sabri sendiri sudah bersetuju untuk membubarkan Parlimen pada tahun ini.

“Menerusi pertemuan semalam, kita berbincang mengenai perkara berkaitan PRU. Macam-macam isu dibangkitkan dari segi calonnya, duit, jentera dan macam-macamlah.

“Secara asasnya, Perdana Menteri sudah bersetuju PRU15 diadakan tahun ini. Cukuplah setakat ini saja komen saya,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.

Berdasarkan keadaan itu, berlangsungnya PRU15 pada tahun 2022 ini semacam tidak boleh ditolak lagi, melainkan jika Agong enggan memberi perkenan.

Namun demikian, di sebalik desakan UMNO untuk mempercepatkan pembubaran Parlimen yang sudah tentu disertai dengan keyakinan mampu mencapai kemenangan, parti itu sebenarnya telah melakukan suatu kontradiksi yang mampu menyumbang kepada kekalahan.

Ia berikutan dalam mesyuarat MT malam semalam, sementara memutuskan PRU15 perlu diadakan pada tahun ini, UMNO juga membuat keputusan menggantung keahlian dua Ketua UMNO Bahagian serta memecat seorang Ketua Cawangan.

Mereka yang digantung keahlian selama enam tahun ialah Tajuddin Abdul Rahman, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail.

Yang dipecat pula ialah Zaharin Md Yasin, seorang Ketua Cawangan dalam UMNO Bahagian Bandar Tun Razak.

Sebagaimana semua orang tahu, ketiga-tiga pemimpin berkenaan diambil tindakan adalah disebabkan mereka sering mengkritik Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Yusof dan Zaharin sendiri mengakui mereka diambil tindakan hanyalah kerana kritikan yang kerap dilakukan sebelum ini terhadap Zahid Hamidi.

Cuma, sebagaimana kita semua sedar, Tajuddin dan Zaharin kerap mengkritik Zahid Hamidi secara terbuka, manakala Mohd Yusof mengakui kritikan yang dilakukannya adalah secara tertutup dalam Grup Whatsapp.

Di ketika PRU15 kian hampir detiknya dengan kemenangan adalah matlamat yang ingin dicapai, meletakkan UMNO dalam keadaan paling kukuh dan bersatu seharusnya merupakan keutamaan parti itu ketika ini.

Malangnya, di sebalik Zahid Hamidi kian berjaya mendesak PRU15 disegerakan, beliau juga cuba bertindak “menghapuskan” para pengkritik dan penentangnya dalam UMNO.

Menggantung keahlian dan memecat mereka yang bergelar pemimpin pada ketika ini adalah tindakan yang tidak sesuai kerana ia boleh mewujudkan perpecahan dan merosakkan persiapan jentera parti menghadapi PRU, tambahan lagi jika mereka itu berstatus Ketua UMNO Bahagian.

Zahid Hamidi jangan lupa, UMNO sebenarnya kalah pada PRU14 lalu dan kedudukan kerajaan sekarang yang Perdana Menterinya, Ismail Sabri daripada UMNO adalah sekadar memiliki majoriti cukup makan saja.

Dengan itu, memastikan kemenangan di setiap kerusi Parlimen yang ditandingi BN adalah sangat mustahak serta bernilai.

Dengan menggantung Tajuddin dan Mohd Yusof, apakah dengan tindakan itu UMNO yakin BN mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak dan merampas kerusi Alor Setar yang kini dipegang pembangkang?

Bagaimana jika mereka itu, terutamanya Tajuddin yang dikenali sebagai “kaki lawan” membuat “kerja gila” dengan berkempen secara habis-habisan untuk memastikan UMNO tidak menang PRU15 akan datang?

Zaharin pula, walaupun hanya Ketua UMNO Cawangan, tetapi beliau adalah penggiat media sosial yang aktif yang sudah tentu ada penyokong atau pengikut di belakangnya.

Selepas dipecat tanpa diberi sebarang tunjuk sebab dan keadilan untuk membela diri, Zaharin secara terbuka dalam videonya mengatakan beliau akan menyerang Zahid Hamdii secara habis-habisan.

Secara mudah, tindakan UMNO terhadap ketiga-tiga mereka berkenaan lebih meletakkan UMNO berkurang kawan dan bertambah musuh.

Di suatu ketika dahulu, Zahid Hamidi sendiri berpesan – kita dalam politik ini mesti sentiasa menambah kawan dan mengurangkan musuh.

Dalam keadaan sekarang di mana Zahid Hamidi seperti terlupa kata-katanya sendiri, ditambah dengan musuh politik sedia ada memang sedang menanti serta perlu dihadapi – bagaimana beliau selaku Pengerusi BN mampu mencipta kemenangan melalui tingkah laku yang sumbang itu? – ShahbudinHusin 02/09/2022.