KEADILAN melancarkan jentera
parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sabah pada 26 September ini.
Jentera itu bakal dikemudi oleh
Ketua KEADILAN Cabang Pensiangan, Raymond Ahuar yang juga merupakan Ketua
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah.
Ketua AMK, Akmal Nasir berkata
jentera yang digerakkan oleh golongan belia itu merupakan satu peluang kepada
anak muda untuk membuktikan keupayaan mereka dalam persada politik negara.
"Selaku Ketua AMK
Malaysia, saya mengharapkan KEADILAN kekal sebagai wadah anak muda dan memberi
ruang kepada kami untuk sama-sama berada di barisan hadapan.
"Kekuatan dan komitmen
anak muda wajar dihargai dan digilap lebih jauh.
Apa-apapun kita akan terus
bersama-sama membantu sehabis baik untuk sentiasa membawa perubahan ke arah
kebaikan," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14), DUN Sook dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Ellron Alfred
Angin dengan majoriti 4,485 undi.
Beliau menewaskan calon
Warisan, Martin Tommy yang meraih 3,557 undi, calon USA-STAR, Baritus Gungkit
dengan 3,402 undi dan calon parti Anak Negeri, Peter Beaty dengan 113 undi.
Dengan pelancaran jentera
KEADILAN di DUN Sook, ada kemungkinan Warisan akan memberi peluang kepada
KEADILAN untuk bertanding di kerusi tersebut.