KEADILAN berjanji akan menyelesaikan isu hak tanah adat (native
customary right) yang dihadapi rakyat Sarawak sekiranya memenangi Pilihan Raya
Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi KEADILAN Sarawak, Larry Sng menganggap kerajaan Gabungan
Parti Sarawak (GPS) yang dahulunya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) gagal
mempertahankan dan melindungi hak undang-undang rakyat Sarawak ke atas tanah
adat.
Malah, Larry mendakwa banyak tanah adat rakyat Sarawak telah
dijual mahupun disewa kepada pengusaha ladang kelapa sawit dan syarikat balak
komersial.
"GPS dan komponennya telah berkuasa selama 57 tahun dan
mempunyai peluang untuk melaksanakan segala perubahan ini, tetapi sebaliknya
GPS gagal dan terus mengabaikan hak dan kesejahteraan rakyat Sarawak,"
katanya dalam kenyataan.
Justeru, Larry memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak yang
diterajui KEADILAN akan memastikan tanah adat negeri diuruskan dengan segera
dan teratur.
"Kerajaan negeri yang dipimpin oleh KEADILAN akan
meningkatkan peranan dan fungsi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk
menjalankan kerja pemetaan perimeter dan kajian tanah dengan betul.
"Dana akan disediakan untuk menjalankan kajian terperinci
bagi mengenal pasti sempadan tanah adat Anak Negeri dengan tepat dan
menyelesaikan isu 'Hakmilik Tanah / Akta dengan segera.
"Kerajaan baharu juga akan bekerjasama dengan masyarakat
setempat dan Majilis Adat Istiadat Sarawak. Survei NCR ini akan diselesaikan
dalam jangka masa 5 tahun," katanya.
Pada masa sama, Larry berkata Tribunal Khas Tanah akan dibentuk
untuk menimbangtara dan menyelesaikan perselisihan mengenai hak tanah dan batas
tanah adat serta menyelesaian kes tertunggak.
"Pembangunan negeri mestilah sesuai dengan model lestari dan
mesra alam, dengan mempertimbangkan faktor sosio-budaya masyarakat sekeliling,
dan wajib merangkumi penglibatan anak jati Sarawak, orang asal yang kaya dengan
keunikan sejarah menoa Sarawak.
"Kami akan mengkaji semua konsesi terutamanya konsesi yang
telah mendapat aduan," katanya.
Larry juga mendedahkan bahawa Polisi Alam Sekitar dan Perhutanan
yang lestari dan progresif melalui program penghutanan semula yang berpaksikan
rakyat akan turut dilaksanakan.
"Ini sebagai usaha melindungi alam sekitar dan pada masa yang
sama memperkasa ekonomi masyarakat tempatan melalui skema pengaturan karbon
perubahan iklim antarabangsa.
"Kami akan membayar masyarakat untuk menjalankan penanaman
semula hutan di tanah mereka dan melindungi alam sekitar untuk generasi yang
akan datang.
"Dasar-dasar ini akan membolehkan kita mengembalikan kekayaan
Sarawak kepada majoriti rakyat dan bukan hanya menumpukannya di tangan minoriti
iaitu keluarga elit politik dan hartawan kayu balak.
"Semua matlamat ini dapat dicapai dengan mantap kerana hak
tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan tidak memerlukan campur
tangan kerajaan persekutuan," katanya.