Kerja kuat untuk menang 5 - 10 kerusi - Christina Liew





Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Christina Liew Chin Jin percaya KEADILAN dalam posisi terbaik untuk menang lebih daripada lima kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Berucap dalam majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya KEADILAN Sabah malam tadi, katanya, dengan bantuan rakan-rakan dari seluruh negara tidak mustahil sasaran tersebut akan dicapai.

"Saya percaya dengan kedatangan presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita boleh menang lebih dari 5 ke 10 kerusi kali ini.

"Saya amat berharap agar presiden dan kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui KEADILAN, iaitu Selangor dan Negeri Sembilan dapat membantu kami dari segi kepakaran teknikal dan taktikal.

"Kita perlu kembalikan mandat rakyat yang cuba dirampas menyebabkan Dewan Undangan Negeri Sabah dibubar.

"Kerajaan Sabah, KEADILAN, Warisan, DAP dan Amanah amat penting dan menjadi harapan rakyat Sabah.

"Kita tidak mampu bersendirian (dalam PRN) dan perlu meneruskan kerjasama (bersama parti lain) untuk memastikan kemenangan besar," katanya.

Christina juga berharap dengan kerusi yang lebih banyak, KEADILAN mampu memberi sumbangan lebih besar dalam kerajaan Sabah yang diterajui Warisan.

"KEADILAN perlu jadi kerajaan dan berada dalam kerajaan agar parti ini terus relevan memacu agenda reformasi dan dapat melaksanakan (perubahan) dalam kerajaan negeri Sabah.

"Pada pilihan raya kali ini kita perlu perlu bekerja keras memberitahu pengundi bahawa kita sentiasa berkhidmat untuk mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada jentera KEADILAN agar jangan leka dengan strategi licik musuh. Katanya, musuh telah mula memainkan fitnah kononnya KEADILAN tidak melakukan apa-apa sepanjang pemerintahan sejak 2 tahun lalu maka rakyat tidak perlu lagi memilih parti itu pada kali ini.

"Sesetengah parti sudah mula kempen kotor. Mereka menabur pelbagai fitnah ke atas KEADILAN, termasuk saya sendiri. Kononnya saya tidak melakukan apa-apa dalam kerajaan.

"Ini adalah satu propaganda tidak benar dan tidak adil.

"KEADILAN Sabah telah melakukan banyak khidmat dan program untuk rakyat. Tidak berhenti dan sentiasa turun padang bersama-sama rakyat. Anda boleh rujuk website parti KEADILAN Sabah dan media sosial untuk mengetahui lebih lanjut pembohongan mereka, yang mengatakan KEADILAN tidak buat kerja di Sabah," katanya lagi.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 14, KEADILAN bertanding 8 kerusi DUN bagaimanapun hanya menang 2 kerusi. Namun dengan semangat menolak pengkhianatan kali ini, KEADILAN mensasarkan untuk mendapat sekurang-kurangnya 5 kerusi bagi menguatkan kerajaan Pakatan Harapan - Warisan yang bakal dibentuk.