Dana subsidi elektrik jasa kerajaan PH?
Yeoh Bee Yin
Najib boleh tanya Menteri Tenaga UMNO dari manakah dana yang digunakan untuk memberi bantuan elektrik yang diumumkan setakat ini? Ia dari Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Sebelum perubahan kerajaan pada 1 Mac 2020, Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dianggar akan mencatat lebih daripada RM 1.5 bilion pada Jun 2020: RM 200 juta dari KWIE sedia ada dan RM 1.368 bilion dari anggaran hasil mekanisme Imbalance-Cost-Past-Through (ICPT) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk tempoh Januari ke Jun 2020 (surcaj bahan api dari pengguna komersial dan industri sejumlah RM 594 juta dan penjimatan daripada pelarasan hasil Incentive-Based-Regulation (IBR) sejumlah RM 774 juta.)
Dengan mengambil kira peruntukan yang digunakan untuk menampung diskaun-diskaun yang telah diumumkan di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi Covid-19, dianggarkan lebih kurang RM 1 billion lagi dana KWIE yang boleh disalurkan. Angka ini bersamaan dengan jumlah yang dijangka untuk bantuan bil elektrik yang diumumkan oleh Menteri hari ini.
Pengumuman Menteri hari ini seolah-olahnya semua bantuan adalah “jasa kerajaan Perikatan Nasional” (a.k.a jasa UMNO) tetapi sebenarnya dana tersebut adalah daripada KWIE. Bukan sahaja itu, semua diskaun bil elektrik yang dinikmati rakyat sepanjang Covid19 dan diwar-warkan sebagai “jasa UMNO” sebenarnya ialah dana dari KWIE.
Semasa saya menjadi Menteri Tenaga, kami membuat keputusan untuk meningkatkan dana KWIE supaya ia boleh digunakan pada masa mencabar bagi menampung beban rakyat serta menstabilkan tarif elektrik.
Najib Razak boleh tanya Menteri UMNO sendiri. Adakah dana untuk bantuan bil elektrik daripada KWIE? Jika dari KWIE, KWIE sekarang tinggi adalah kerana keputusan dan rancangan yang dibuat di bawah pentabiran Pakatan Harapan.
Tolonglah UMNO, jangan sibuk claim credit.
Najib tak tahu kira? YBY sedia membantu.
Selain daripada bil April, Mei dan Jun, kos sumber bahan api global telah menurun sejak tiga bulan yang lepas dan ini turut mengurangkan kos penjanaan elektrik. Saya cadangkan Dr Shamsul supaya penjimatan kos bahan api ini boleh dilepas dengan sepenuhnya kepada pengguna-pengguna elektrik melalui mekanisme ICPT dalam bentuk rebat untuk tempoh Julai – Disember 2020.
Pengguna-pengguna domestik mahu pun komersial dan industri sepatutnya dapat menikmati rebat juga untuk Julai hingga Disember 2020 kerana penurunan kos bahan api.
Cuma saya berharap bahawa semasa pengumuman ICPT untuk tempoh Julai-Disember nanti, Menteri tidak akan membuat pengumuman rebat elektrik seolah-olahnya penurunan kos bahan api global juga adalah jasa UMNO.