Teka-teki tentang siapakah yang selayaknya menjadi Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) semakin berterusan. Teka-teki ini meresahkan rakyat memandangkan pihak Perikatan Nasional (PN) semenjak menubuhkan ‘kerajaan tebuk atap’ dengan merampas mandat rakyat telah membuat pelbagai kerosakan sepanjang tiga bulan memerintah. Rakyat melihat bagaimana kerajaan PN ini telah membahagi-bahagikan ‘ghanimah’ (ghanimah ini adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud harta rampasan perang yang dibahagi-bahagikan kepada pihak yang menang sesuatu peperangan sebagai balasan atas kemenangan itu) sesama mereka. Hampir keseluruhan ahli parlimen yang menyokong PN telah mendapat ‘ghanimah’ itu yang dilihat sebagai untuk imbuhan untuk membeli sokongan mereka bagi menyokong kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Selain itu, rakyat juga tertanya-tanya bagaimanakah kerajaan PN ini boleh berbelanja berbilion-bilion ringgit tanpa melalui proses akauntabiliti di Parlimen. Ahli parlimen telah dinafikan hak mereka untuk mempersoalkan hal tersebut.
Rakyat juga melihat bagaimana usaha PN ini untuk menyekat kebebasan bersuara yang menjadi tonggak dalam sesuatu sistem demokrasi. Ahli jurisprudens menyifatkan kebebasan bersuara ini sebagai ‘the blood of a democracy system’ (the blood atau darah ini menunjukkan kepentingan kebebasan bersuara ini yang mana tanpa darah badan tidak dapat berfungsi dengan baik). Beberapa kes yang berlaku seperti tindakan polis membuka kertas siasatan ke atas Hannah Yeoh kerana beliau mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap perkahwinan bawah umur dan tindakan kerajaan yang membuat pertuduhan ke atas Fuziah Salleh yang tersilap menghantar pos di facebooknya menunjukkan betapa kebebasan bersuara yang dinikmati selama PH memerintah itu sedikit demi sedikit telah terhakis.
Rakyat juga tertanya-tanya mengenai bagaimanakah seorang pencuri petai boleh dikenakan hukuman penjara berbulan-bulan tetapi orang yang dikatakan menyalahgunakan wang 1MDB boleh dilepaskan daripada pertuduhan. Begitu juga dalam kes Musa Aman yang dikenakan 46 pertuduhan atas kesalahan korupsi dan pengubahan wang haram boleh dilepaskan dan dibebaskan daripada pendakwaan. Kini, rakyat melihat bahawa trend membebaskan ahli politik yang dikaitkan dengan salahguna kuasa dan korupsi ini akan berterusan sebagai balasan mereka memberikan sokongan kepada kerajaan PN ini.
Justeru, usaha untuk mengembalikan mandat rakyat adalah satu usaha murni yang mesti menjadi perjuangan anggota PH untuk meluruskan kembali hala tuju negara ini dan membetulkan kesilapan PN. Rakyat percaya bahawa jika ini gagal dibuat maka pemerintahan PN dalam tempoh berbaki sebelum berlakunya PRU 15 akan menambahkan kerosakan kepada negara ini lebih daripada kerajaan BN sebelum ini.
Namun, usaha ini sedikit sebanyak telah terbantut apabila anggota komponen PH telah terbelenggu dengan polemik siapakah yang selayaknya menjadi Perdana Menteri sama ada Tun Dr Mahathir atau pun Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Maka, siapakah yang selayaknya menjadi Perdana Menteri?
Menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, orang yang layak dilantik adalah sesiapa sahaja yang menjadi Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain. Pemilihan Perdana Menteri ini bukanlah dinilai daripada sokongan rakyat. Rakyat hanya memilih ahli Dewan Rakyat untuk mewakili mereka di kawasan Parlimen masing-masing. Tetapi, akhirnya yang memilih Perdana Menteri adalah ahli Dewan Rakyat itu sendiri.
Sepatutnya, pemilihan Perdana Menteri ini dibuat secara konsensus dalam kalangan parti komponen PH yang kini terdiri daripada PKR, AMANAH dan DAP setelah PPBM mengisytiharkan keluar daripada PH. PH sebelum ini telah bertegas bahawa Datuk Seri Anwar sepatutnya dinobatkan sebagai Perdana Menteri namun hal ini tidak dapat menjadi kenyataan kerana ahli Dewan Rakyat yang menyokong Datuk Seri Anwar tidak mempunyai jumlah yang cukup untuk melantik beliau sebagai Perdana Menteri.
Oleh itu, PH terpaksa mendapatkan sokongan daripada ahli Dewan Rakyat dalam kalangan bukan komponen PH untuk mencukupkan jumlah sokongan itu. Usaha ini telah berjalan semenjak tiga bulan lepas di mana pimpinan PH telah bermesyuarat semenjak sekian lama bagi mendapatkan sokongan tersebut.
Setelah gagal untuk mendapatkan sokongan tersebut, maka PH terpaksa mengusulkan opsyen yang kedua iaitu melantik kembali Tun Mahathir yang dilihat akan berjaya mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat yang lain khasnya di kalangan ahli Dewan Rakyat daripada Sabah dan Sarawak serta ahli-ahli Dewan Rakyat di kalangan anggota PPBM yang masih setia kepada Tun Mahathir serta beberapa orang daripada kem Azmin Ali. Kini, jika dicampurkan ahli Dewan Rakyat yang menyokong PH termasuklah daripada parti Warisan dan UPKO di Sabah adalah seramai 107 orang sahaja. PH memerlukan sekurang-kurangnya 5 orang lagi ahli Dewan Rakyat yang lain bagi mencukupkan jumlah 112 jumlah majoriti ahli Dewan Rakyat.
Langkah ini kelihatan tidak mustahil kerana faktor utama berlakunya ‘kerajaan tebuk atap’ ini disebabkan sikap beberapa ahli Dewan Rakyat yang tidak menyokong Datuk Seri Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri. Maka, opsyen kedua ini sepatutnya disokong oleh PKR sendiri dan opsyen ini sendiri telah diangkat ke dalam mesyuarat PH itu yang telah berlangsung berkali-kali. Adalah amat mendukacitakan sekiranya usaha merampas kembali tampuk pemerintahan tidak dapat dilaksanakan semata-mata kerana pihak PKR bertegas untuk melantik Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.
Maka, tidak hairanlah sekiranya Khalid Samad dan Anthony Loke mengeluarkan kenyataan bersama mengenai hal ini kerana kedua-duanya adalah mewakili dua komponen parti PH. Ini tidak bermakna AMANAH adalah menjadi khadam DAP sebagaimana tohmahan sesetengah orang kerana AMANAH dan DAP adalah parti yang setara dalam PH. Tohmahan itu hanyalah tohmahan liar pihak lawan yang ingin memperkecilkan peranan AMANAH sebagai pendamai di antara kedua-dua kem Datuk Seri Anwar dan Tun Mahathir.
Langkah pihak PKR yang bermain api dengan berjumpa Hamzah Zainuddin dan Muhyiddin Yasin atas nama membawa agenda reformasi juga tidak kelihatan dapat menjernihkan persahabatan erat komponen PH. Sebaliknya, langkah ini menimbulkan lagi tanda-tanya kenapakah usaha reformasi ini tidak diteruskan atas nama PH sedangkan PH komited dengan usaha reformasi ini. Bahkan, pada zaman pemerintahan PH sendiri Presiden PKR pada waktu itu iaitu Datuk Seri Wan Azizah sendiri telah diletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang boleh berfungsi sebagai agen reformasi.
Akhir sekali, semua parti komponen PH perlu kembali ke meja perundingan dan memperkuatkan persahabatan PH dalam menghadapi kerajaan PN. Sebarang opsyen untuk mengembalikan PH memerintah adalah perkara yang utama tidak kiralah sama ada kejayaan itu boleh dicapai dengan cara melantik semula Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri atau pun Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.