Bekas pemimpin Pemuda UMNO, Datuk Seri Nazir Hussin, dijadual hadir semula ke SPRM hari ini bagi membantu siasatan.
Minggu lepas, masa sidang media, wartawan tanya apa pekerjaan dia, berapa banyak syarikat dia ada dan apa jenis perniagaan yang dijalankan.
Jawapan dia mudah saja. “Tanya ChatGPT, semua keluar.”
Haaa, bila keluar berita dia dipanggil semula ke SPRM, netizen pun mula menyakat.
“Kalau SPRM tanya, nanti dia suruh SPRM tanya ChatGPT. Tu yang dia buat bila wartawan tanya dia dalam sidang akhbar.” 


Aduhai. Rakyat Malaysia memang laju kalau bab mengusik.
Tapi ada satu perkara yang mungkin ramai tak sedar.
Zaman sekarang, sesiapa pun boleh cipta maklumat mengenai diri sendiri, lambakkan dalam pelbagai website, kemudian sebarkan pula melalui media sosial.
Bila orang tanya ChatGPT, maklumat daripada website tadi boleh muncul sebagai jawapan. Tapi itu tak bermaksud semua maklumat tersebut sudah disahkan benar.
Sebab itu kalau nak buktikan seseorang benar-benar berjaya dalam perniagaan, bukan sekadar tunjuk nama syarikat yang keluar dalam ChatGPT.
Kena tengok dokumen yang sah. Rekod kewangan beraudit, keuntungan sebenar, pemilikan syarikat dan bukti projek yang berjaya dilaksanakan.
Barulah orang boleh nilai sejauh mana kejayaan perniagaan tersebut.
Apa pun, Nazir telah menafikan berlaku penyelewengan dalam isu pelaburan RM10 juta Yayasan Bank Rakyat. Biarlah SPRM menjalankan siasatan berdasarkan bukti.
Cuma satu sajalah. ChatGPT boleh bantu cari maklumat, tapi kalau pegawai SPRM nak periksa dokumen kewangan, tuan badan juga yang kena tunjuk.
Takkan nak suruh ChatGPT keluarkan penyata bank pula? 

No comments:
Post a Comment