SITI NUR ZAWANIApril 28, 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini
mengesahkan siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial telah dijalankan
berikutan aduan yang diterima daripada orang awam.
Setakat ini dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah
dijalankan di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya pada 25 dan 28 April 2025.
Siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan
melibatkan penyebaran maklumat palsu berkaitan institusi diraja dengan dakwaan
tidak berasas.
Selain itu terdapat cubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu
tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau
mengganggu mana-mana orang
“Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan
fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terlibat serta
melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi,” kata
suruhanjaya itu dalam kenyataan.
SKMM menegaskan bahawa semua aduan akan disiasat berlandaskan
undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.
Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur
yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998, dan
merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan.
SKMM turut mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan
yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja), bersifat mengancam,
mengganggu, atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan
boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada.

No comments:
Post a Comment