SITI NUR ZAWANIApril 28, 2025
Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 anjuran Kementerian Pertanian dan
Keterjaminan Makanan (KPKM) menjimatkan kira-kira RM100,000 kerana penyanyi
tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang membuat persembahan nyanyian secara
percuma.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu telah membuat penjelasan lebih awal
mengenai kehadiran Hetty Koes untuk mengelak terpalit kontroversi sama yang
berlaku di majlis rumah terbuka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru
ini.
Ketika sidang media bersama pemberita hari ini, Mohamad berkata penyanyi
tersohor itu hadir dan membuat persembahan percuma sebagai tanda persahabatan
mereka sejak sekian lama.
“Kalau nak ambil dia (menyanyi, kena bayar) RM100,000. Tapi dia beri
khidmat percuma di atas sahabat saya dengan dia dan isteri saya kenal dengan
dia.
“Dia kebetulan nak datang bercuti ke Langkawi, maka dia sedia untuk
singgah di sini dan memberi persembahan percuma. Kalau kita nak bayar, kita tak
akan mampulah bayar, sebab dia taraf profesional,” katanya hari ini.
Kemunculan Hetty Koes mendapat perhatian dan sambutan yang meriah
apabila beliau mendendangkan tiga buah lagu termasuk lagu popular beliau
seperti Tak Ingin Sendiri, Tradisi Hari Raya, dan Berdiri Bulu Romaku.
Sebelum ini Mohamad berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada
Hetty yang memaklumkan ingin menghadiri majlis hari raya tersebut.
.
No comments:
Post a Comment