
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah ketika Taklimat Harian PMO pada 11 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 12 Mar – Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan mesej bermakna kepada tiga penyampai radio Era FM agar menjadi ejen perpaduan dengan menyampaikan mesej kesatuan kepada rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.
Nasihat tersebut disampaikan Perdana Menteri ketika tiga penyampai radio stesen radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin Amir bertemu dengan Anwar di Angkasapuri semalam.

“Semalam, Perdana Menteri telah menghadiri Majlis Iftar Bersama Pengamal Media dan dalam majlis tersebut, Perdana Menteri telah bertemu trio DJ Era FM di mana Perdana Menteri sudah beri nasihat kepada mereka dan berpesan sentiasa bawa mesej perpaduan dalam tugasan harian mereka.
“Alhamdulillah, mesej Perdana Menteri bukan saja menjurus kepada mereka namun kepada semua pihak agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha Kerajaan Madani menyatukan seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, agama, kaum dan bangsa,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Tiga penyampai radio itu mengundang kontroversi ekoran tindakan dengan dakwaan menghina agama Hindu.

Semalam, pengendali stesen Era FM dikenakan kompaun RM250,000 manakala lesen tidak digantung.
Dalam masa yang sama, Tunku Nashrul turut berkata, Perdana Menteri berharap agar semua rakyat Malaysia dapat menoktahkan perkara itu dan bergerak ke hadapan dalam memastikan keadaan rakyat dan negara sentiasa dalam keadaan baik dan saling hormat menghormati.
“Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan kepada mana-mana pihak yang telah menghentikan sebarang unsur negatif atau cubaan untuk mengeruhkan lagi keadaan mengenai perbedaan hukuman dan kompaun yang dikenakan terhadap isu yang sama.

“Perdana Menteri telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjelaskan perkara ini sekali lagi,” ujarnya.
Katanyai, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa semua pihak perlu faham akan perubahan akta dan undang-undang yang telah diluluskan sebelum ini.
“Hatta berlakunya perbezaan hukuman dan kompaun yang dikenakan. Sebarang tanggapan atau perkongsian maklumat tidak tepat akal hal ini akan hanya mencetuskan persepsi tidak sihat tatkala kita semua dituntut untuk terus menyemai benih keharmonian dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment