DARIPADA ENAM KERUSI LOMPAT, SATU DARIPADANYA SANGAT BERPOTENSI DIRAMPAS SEMULA, MAKA BIARKAN SAJA ADA PRK


Melalui perhimpunan agung khas yang diadakan petang tadi, pindaan perlembagaan Bersatu untuk menghalang Ahli-Ahli Parlimennya mengalih sokongan secara individu kepada pihak lain berjaya diluluskan secara sebulat suara.


Pindaan itu mewajibkan wakil rakyatnya mengosongkan kerusi jika menyokong parti lawan di mana melalui perbuatan mengalihkan sokongan itu, keahlian mereka dikira terbatal secara automatik.


Usul pindaan yang dikemukakan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu atau Peja itu adalah selari Perkara 49A Perlembagaan atau merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti.


Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin berkata, selaras pindaan perlembagaan yang diluluskan, keahlian Ahli Parlimennya yang mengalih sokongan akan terbatal secara automatik.


“Maknanya dia tidak akan jadi ahli dan kerusi itu kosong. Bila kosong akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maka pilihan raya kecil bagi kerusi yang terlibat itu akan diadakan,” katanya.


Beliau bagaimanapun menambah, selepas pindaan itu dikuatkuasakan dan mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau RoS, pihaknya akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen yang telah mengalih sokongan kepada kerajaan madani untuk mendapat kepastian mengenai pendirian sebenar mereka.


“Kita tanya balik, kamu kata kamu ahli Bersatu tetapi kamu sokong belah sana. Jadi mengikut pindaan perlembagaan yang telah diluluskan, itu adalah perbuatan salah,” katanya lagi.


Mahiaddin juga berharap Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul tidak “berdolak-dalik” apabila Bersatu nanti menyerahkan notis pengosongan kerusi di enam kawasan Parlimen terbabit.


Berdasarkan beberapa tulisan sebelum ini, saya berulang kali menegaskan, secara prinsipnya, Ahli Parlimen yang belot daripada parti yang menjadikan mereka Ahli Parlimen memang wajib mengosongkan kerusi yang sedang diduduki.


Mandat memilih Ahli Parlimen baru mesti dikembalikan kepada rakyat atau pengundi membuat pilihan semula atas pembelotan yang telah dilakukan.


Berkaitan isu ini, enam Ahli Parlimen berkenaan tidak perlu lagi berlawan hujah untuk terus mempertahankan kerusi Ahli Parlimen mereka kerana tindakan itu tidak ubah seperti mempertahankan kebatilan.


Tanyalah diri sendiri, bermoralkah perbuatan mereka mengalih sokongan sebelum ini dan kemudian selepas Bersatu meminda perlembagaan, masih juga lagi ingin mempertahannnya?


Jadilah pemimpin yang bermaruah sedikit, kosongkan saja kerusi tanpa banyak alasan dan serahkan kepada pengundi membuat pilihan semula.


Kepada PH yang kini mengetuai kerajaan madani, mereka juga hendaklah ingat bahawa Akta Anti Lompat Parto adalah perkara yang diperjuangkan gabungan itu dan Anwarlah yang berjaya meniadikannya realiti sebagai syarat menyokong kepimpinan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sebelum ini.


Untuk itu, pindaan perlembagaan yang dilakukan Bersatu adalah selaras dengan Akta Anti Lompat Parti yang diperjuangkan Anwar dan seharusnya tiada masalah untuk diberikan sokongan.


Caranya ialah dengan RoS meluluskan pindaan tersebut tanpa banyak soal dan sekiranya Bersatu menghantar notis kekosongan enam kerusi berkenaan, Speaker Parlimen haruslah juga bersetuju dengannya.


Biar diadakan semula pilihan raya kecil di enam kawasan Parlimen tersebut.


Hanya dengan cara demikian nama Anwar dan kerajaan yang dipimpinnya terpelihara daripada segi kewibawaan dan benar-benar dilihat menolak amalan, sama ada lompat parti atau lompat sokongan.


Lagi pula, sokongan enam Parlimen Bersatu itu kepada Anwar dan kerajaan bukanlah sokongan yang asli, selain tanpa mereka pun, kedudukan kerajaan sudah cukup stabil dengan 148 Ahli Parlimen tidak goyang lagi di belakangnya.


Hakikatnya, tanpa enam Ahli Parlimen berkenaan, Anwar masih boleh bertahan sebagai Perdana Menteri dengan selesa sehingga PRU16 akan datang.


Yang lebih penting lagi, jika diadakan PRK pula, yang akan bertanding di keenam-enam kawasan Parlimen itu nanti ialah UMNO dan bukan PKR atau PH.


Ertinya, Anwar dan PH tidak tercalar walau sedikiy pun melalui PRK yang bakal diadakan itu.


Begitu pun, meski UMNO yang akan bertanding, daripada enam kawasan itu, salah satu daripanya iaitu Gua Musang sangat berpotensi untuk dirampas semula jika calon yang diletakkan adalah Tengku Razaleigh Hamzah.


Pada PRU15 lalu, Fengku Razaleigh hanya tewas 163 undi kepada calon Bersatu/PN, Mohd Azizi Abu Naim.


Dengan demikian, bukankah lebih menguntungkan UMNO, rakan kongsi PH sendiri, jika PRK dapat diadakan semula? – ShahbudinHusin 02/03/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/03/02/daripada-enam-kerusi-lompat-satu-daripadanya-sangat-berpotensi-dirampas-semula-maka-biarlah-ada-prk.html



No comments: