Oleh: Helmi Mohd Foad
Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberi kelonggaran untuk
mengemukakan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara, kata Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara itu penting bagi memastikan pusat
pengajian tinggi negara dapat bersaing di peringkat serantau dan dunia sekali
gus melahirkan mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi.
"Kementerian Pendidikan Tinggi hanya harus selaraskan
(program) bagi mengelakkan apa-apa pertindihan atau permasalahan tapi beri
lebih banyak ruang kepada unversiti, lihat lebih banyak program yang lebih
baik, kalau tidak kita ubah kepimpinan (IPT)," katanya ketika berucap pada
program Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia,
Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul
Kadir.
Perdana Menteri berkata mahasiswa di negara ini juga perlu
bersungguh-sungguh menimba ilmu termasuk melakukan kajian lebih berkualiti.
Jelas beliau berdasarkan pengalamannya menjadi tenaga pengajar
termasuk menjadi felo pelawat di beberapa universiti di luar negara, golongan
mahasiswa di Barat mempunyai disiplin pembelajaran yang tinggi.
"Saya tidak fikir kita boleh bersaing dalam dunia pendidikan,
melawan China, Taiwan, Finland dan negara lain, kalau mahasiswa tidak memiliki
disiplin yang tinggi," katanya.
Anwar turut menyeru golongan pemikir, intelek dan ahli akademik
untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam memperbaiki kelemahan negara serta
mengangkat martabat anak-anak muda dalam pembelajaran.
"Pokoknya dalam kalangan pemikir bangsa, keutamaannya adalah
menggunakan ruang perbaiki kelemahan kita, keutamaan kita mendidik anak-anak
kita supaya dalam masa lima enam tahun, mereka bersaing dengan yakin dengan
negara-negara maju di dunia ini," katanya.
Beliau turut mahu penggunaan bahasa Melayu diutamakan dalam
pengajaran dan pembelajaran di IPT namun dalam masa sama menekankan kepentingan
menguasai bahasa Inggeris.