APA PUNYA LEKEH- NAK JATUHKAN KERAJAAN, JATUHKANLAH BETUL-BETUL…


Cerita mahu menjatuhkan kerajaan nampaknya terus menjadi bualan dan diperkatakan di mana-mana di sebalik khayalan Langkah Dubai terbukti telah tersadai di laluan angan-angan.


Mentang-mentang untuk berkhayal dan berilusi tak perlu bayar sebarang yuran, suka-suka hati saja mereka mengoptimumkannya.


Kononnya masih ada lagi langkah lain akan digerakkan selepas ini bagi menjatuhkan kerajaan.


Kadangkala susah juga memikir logik cerita tukar kerajaan ini kerana jumlah Ahli Parlimen PN yang mewakili blok pembangkang sekarang ini bukannya makin bertambah, tetapi semakin berkurangan.


Daripada 74 Ahli Parlimen yang mereka ada sebelum ini, kini hanya tinggal 69 orang saja lagi setelah lima daripadanya mengisytiharkan sokongan terbuka kepada kerajaan.


Kalau daripada 74 tiba-tiba bertambah jadi 84 atau 90, barangkali bersambung jugalah sel-sel otak untuk menerima logik kerajaan boleh bertukar tangan.


Ini tidak, jumlah mereka makin berkurangan, tetapi nafsu ingin menjatuhkan kerajaan makin meninggi seolah-olah esok hari pokok pisang hendak ditumbangkan.


Ingatkan nafsu lelaki ingin beristeri lebih saja yang sentiasa tinggi walaupun hakikatnya mereka takut bini, rupa-rupanya nafsu mahu menjatuhkan kerajaan sudah merampas kedudukan di tempat pertama.


Menjatuhkan kerajaan pada hakikatnya bukanlah suatu kesalahan – selain melalui pilihan raya, cara lain yang dibenarkan ialah dengan cara menarik sokongan.


Cuma yang ingin diketahui, daripada 153 Ahli Parlimen yang sedia ada menyokong kerajaan, siapa di antara mereka yang mahu menarik sokongan?


Untuk tubuh kerajaan, perlu ada sekurang-kurangnya 112 sokongan Ahli Parlimen.


Dengan PN hanya tinggal ada 69 Ahli Parlimen, bermakna jumlah yang diperlukan untuk menjadikan 112 bagi memungkinkan diwujudkan sebuah kerajaan baru ialah 43 orang.


Ertinya dalam hal ini, jika ingin menjatuhkan kerajaan, PN kena menarik 43 daripada 153 Ahli Parlimen yang sekarang menyokong kerajaan.


Cuba congak-congak, boleh dapat ke?


Sebab itu, jika mahu menjatuhkan kerajaan, ia bukanlah kerja main-main.


Jangan syok sendiri dan jangan juga memberi harapan palsu kepada para penyokong yang tertunggu-tunggu.


Kalau nak jatuhkan kerajaan, jatuhkanlah betul-betul sehingga ia benar-benar jatuh dan menjadi kenyataan.


Kadang-kadang ada seronoknya juga melihat kerajaan jatuh dan bertukar ganti ini, setidak-tidaknya ada yang kembali kenal rumput di bumi dan tidaklah mereka memanjang mendongak ke langit saja.


Jika serius ingin menjatuhkan kerajaan, lihatlah bagaimana UMNO melakukannya kepada Mahiddin Md Yasin sebelum ini – umum tarik sokongan dan Presiden Bersatu itu terus letak jawatan sebagai Perdana Menteri.


Buat apa bersembunyi pendirian, duduk macam menyokong kerajaan, tetapi sebenarnya hati ingin menjatuhkan kerajaan.


Lagi pula, menarik sokongan bukanlah suatu kesalahan dari segi akta lompat parti sebagaimana Ahli Parlimen blok pembangkang juga tidak melakukan kesalahan apabila mengumumkan sokongan kepada kerajaan.


Satu lagi cara, buatlah sidang akhbar seperti mana dilakukan Anwar Ibrahim sebelumnya dengan menyatakan sudah memiliki jumlah sokongan mencukupi untuk mengambil alih kerajaan serta surat untuk mengadap turut diutus ke Istana Negara.


Asyik sibuk dengan langkah itu langkah ini, malangnya selangkah pun tidak melangkah ke mana-mana.


Akhirnya hanya jadi kerja buang masa, jika pun tidak seperti ungkapan popular mendiang Samy Vellu – ini semua kerja orang gila!! – ShahbudinHusin 04/01/2023.


https://shahbudindotcom.net/2024/01/04/nak-jatuhkan-kerajaan-jatuhkanlah-betul-betul.html



No comments: