Institusi pengajian tinggi perlu angkat imej negara - PM


 

Oleh: Abdullah Zaid



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar misi kerajaan membawa Malaysia ke persada dunia perlu disambut oleh semua pihak terutama institusi pengajian tinggi.



Kerajaan melalui semua kementerian, katanya, giat melakukan perubahan dasar yang memerlukan penyelesaian segera dan pantas demi mengangkat semula kedudukan Malaysia di mata dunia.



"Situasi dunia pasca normal yang dirumuskan sebagai kompleks ini semuanya berlaku dalam perkara (waktu) sama seperti digital, climate change, transisi tenaga dan penguasaan bahasa,



"Jadi semua cabaran dan permasalah termasuk isu pembenturan idea mesti diselesaikan dalam masa singkat dan segera," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Wacana Strategi Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.



Amanat beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu turut disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Kementerian Pengajian tinggi.



Justeru, Perdana Menteri menyeru tenaga pengajar dalam bidang pendidikan tinggi perlu mengangkat semula martabat dan kualiti generasi muda agar mampu bersaing dengan negara luar.



"Anda (tenaga pengajar) semua, pemikir bangsa harus melihat keutamaan mengangkat martabat bangsa, negara dan keutamaan agama.



"Oleh itu, gunakan ruang untuk perbaiki kelemahan-kelemahan kita, keutamaan adalah mendidik anak-anak kita supaya lima hingga 10 tahun lagi mereka mampu bersaing dengan yakin dengan negara luar," ujarnya lagi.



Untuk rekod, Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selama dua hari bermula hari ini bertujuan menyelaraskan semula strategi, merangka hala tuju strategik KPT, mencadangkan program atau inisiatif serta membincangkan isu-isu strategik berkaitan KPT dan cadangan penyelesaian bagi tahun ini.



Pelaksanaan objektif wacana ini diteriemahkan dalam beberapa sesi pembentangan dan forum secara interaktif oleh pembentang, ahli panel serta pakar dalam bidang masing-masing.