PAS BOLEH SABAR, TAK PERCAYA BUDAYA ‘SHOPPING’ UNTUK TUBUH KERAJAAN – HADI AWANG

 

Presiden PAS, Hadi Awang berkata partinya sedia menunggu perubahan kerajaan melalui “proses demokrasi dan raja berperlembagaan”.

Mengulas “Langkah Dubai” dalam kolum Harakah Daily, Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua parti politik mahu menjadi kerajaan, bukannya pembangkang sepanjang masa.

“Pihak kerajaan pula tetap akan mempertahankan kedudukannya.

“Dalam sistem demokrasi, perubahan dilakukan rakyat secara langsung melalui pilihan raya atau wakil rakyat yang dipilih mengadakan undi tidak percaya di Parlimen atau melalui akuan berkanun (SD) yang mencukupi jumlahnya (untuk membuktikan perdana menteri kekurangan sokongan).”


Spekulasi “Langkah Dubai” timbul minggu lalu susulan perbincangan didakwa antara pemimpin pembangkang dan wakil kerajaan tertentu ketika lawatan mereka ke Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan mereka kepada pembangkang dan membentuk kerajaan baharu.

Pemimpin kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof menolak “Langkah Dubai” dengan berkata usaha menggulingkan kerajaan perpaduan membuang masa.

Hadi berkata, PAS dan sekutunya dalam Perikatan Nasional tidak percaya kepada budaya “shopping” sokongan Ahli Parlimen menggunakan wang atau janji, sebaliknya mengamalkan “politik demokrasi sebenar”.


Katanya, PAS terus bersabar sejak ditubuhkan pada 1951, walaupun hanya dengan satu kerusi, dan terus beristiqamah dalam semua keadaan.

“Bagaimanapun, PAS tetap bersedia dan berusaha menunggu perubahan kerajaan melalui proses demokrasi dan raja berperlembagaan,” katanya sambil mengkritik kerajaan yang didakwa gagal menunaikan janji dan mentadbir dengan lancar.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/05/pas-sabar-tunggu-tukar-kerajaan-melalui-proses-demokrasi-kata-hadi/



No comments: