Fenomena PRU 15: ‘Jika saya undi kamu, adakah dapat kerja?’
Fenomena baharu diramal akan berlaku sekiranya pilihan raya umum ke 15 diadakan pada 2020.
Parti politik yang menawarkan manifesto pasti akan menghadapi pertanyaan rakyat adakah nereka mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu atau pekerjaan yang terjamin pasca pandemik Covid 19.
Menurut ahli parlimen Kepong, Lim Lip Eng, hal itu berlaku kerana ramai rakyat tanpa mengira bangsa telah hilang mata pencarian sejak perlaksanaan perintah kawalan pergerakan.
“Walaupun pihak Perikatan Nasional (PN) ataupun PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yakin mereka boleh menang PRU-15 kalau ia diadakan tahun ini, adakah mereka tahu situasi sebenar di bandar-bandar besar ataupun separa-bandar?”
“Orang yang hilang kerja akan mengemukakan satu soalan iaitu: ‘Kalau saya undi kamu, adakah kamu akan bagi kerja kepada saya?’
“Isu pengangguran adalah masalah paling besar ketika ini. Majikan atau bos kilang yang saya kenali, semua memberitahu angka jualan turun di antara 30% hingga 50% (bergantung kepada barangan yang dihasilkan oleh kilang itu) disebabkan kurang permintaan.
“Majikan sedang menghadapi pelbagai kesukaran. Oleh itu, pekerja tentunya dikurangkan atau dipotong gaji agar kilang boleh terus berfungsi. Ramai orang, tanpa mengira fahaman politik telah memberitahu saya walaupun mereka tidak berapa yakin terhadap koalisi Pakatan Harapan (PH), mereka juga tidak berapa yakin terhadap koalisi PN,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Lim berpendapat, situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang tidak semestinya memberi kelebihan kepada PN jika PRU15 diadakan dalam beberapa bulan sebelum hujung tahun.
“Secara terus-terang saya berkata kedua-dua koalisi ketika ini mengalami masalah. Rakyat pula muak dengan politik kerana mereka tengok tiada hala tuju dalam situasi politik dan senario kehidupan harian di mana ramai sedang rasa tertekan akibat kos sara hidup tinggi dan harga barang makanan mahal.
“Ini bererti koalisi yang berjaya memberi keyakinan kepada rakyat dan yang ada idea bernas untuk menangani isu kehidupan harianlah yang akan menang PRU15 kerana isu tersebut sangat diutamakan rakyat.
“Adakah pemimpin-pemimpin koalisi PH dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa masalah yang dihadapi oleh mereka hari ini boleh diselesaikan dalam jangkamasa yang pendek?” tanya Lim lagi.