Pemimpin Umno, Pas tak layak jadi PM? – Ibrahim Ali
Selepas mesyuarat Perikatan Nasional (PN) dan dicalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang dalam pilihan raya umum ke 15 satu persoalan berbangkit, iaitu Umno dan Pas yang lebih mantap kedudukannya tidak layak mencalonkan pemimpin mereka sebagai PM.
Hal itu menjadi bahan teguran Presiden Putra, Ibrahim Ali.
Menurut Ibrahim, tindakan menamakan Muhyiddin sebagai PN menunjukkan Muafakat Nasional yang jauh lebih kuat berbanding Bersatu tidak berupaya mengatasi Bersatu dalam hal calon PM.
“Rupa-rupanya selama ini pun Muafakat Nasional pun tidak ada calon yang layak untuk jawatan perdana menteri.
“Selama ini (mereka) berkokok berdegar-degar kononnya Umno dan PAS adalah dua parti hebat apatah lagi Umno mendakwa sebagai parti dominan dalam Muafakat Nasional atau pun Perikatan Nasional (PN).
“Baru sekarang semua rakyat tahu Umno buat masa ini sudah tidak ada seorang calon pun dalam kalangan pemimpin mereka yang berwibawa untuk dicalonkan sebagai perdana menteri selepas PRU ke-15. Semuanya tidak layak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Muafakat Nasional secara dasarnya bersetuju untuk mencalonkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kekal sebagai perdana menteri selepas PRU ke-15 nanti.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang juga setiausaha bersama Sekretariat Muafakat Nasional.
Secara sinis, Ibrahim berkata Pas juga belum mendapat “hidayah dan petunjuk” untuk memilih calon perdana menteri selain pendirian terbaru parti itu membuktikan presiden mereka, Abdul Hadi Awang, juga tidak layak untuk jawatan tersebut.
Tambah Ibrahim, selepas Muafakat Nasional dan Pakatan Harapan (PH) gagal menamakan calon perdana menteri mereka, Putra akan mengumumkan calon perdana meteri apabila parlimen dibubarkan.
“Insya-Allah, Putra juga akan menamakan calon perdana menteri Malaysia apabila parlimen dibubar menjelang PRU15 nanti.
“Setakat ini siapa bakal calon Putra, biarlah rahsia – bak kata penyanyi Siti Nurhaliza,” katanya lagi.