
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Depoh LRT Johan Setia selepas menaiki LRT 3 Laluan Shah Alam pada Majlis Peluncuran Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Laluan Shah Alam di Stesen LRT Johan Setia pada 28 Jun 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 1 Jul – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi penghargaan kerana meneruskan projek LRT3 laluan Shah Alam dengan mengembalikan semula lima stesen sebelum ini dibatalkan.

Baginda bertitah, sebaik mengambil alih jawatan perdana menteri dan menteri kewangan, Anwar turut mengarahkan tiada lagi sebarang halangan daripada mana-mana pihak yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek itu.

“Namun, Alhamdulillah apabila Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri dan menteri kewangan, beliau bersetuju untuk meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang telah dibatalkan dan akan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat Beta.

“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas Beta ucapkan kepada Anwar,” titah baginda dalam perutusan sempena pembukaan LRT3 Shah Alam.

Anwar merasmikan pelancaran LRT3 di Depoh LRT Johan Setia, 28 Jun lalu. Susulan pelancaran, pengguna LRT 3 laluan Shah Alam dan bas perantara di sepanjang jajaran itu akan menikmati perkhidmatan percuma selama sebulan hingga 31 Julai ini.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin berkata projek tersebut pernah tergendala lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan pada 2018, selain berdepan kelewatan 19 bulan lagi akibat pandemik Covid-19.

Baginda turut mengkritik keputusan ketika Kementerian Kewangan diterajui Lim Guan Eng bersama penasihatnya, Tony Pua, yang menurut baginda mengecilkan skop projek atas alasan konon LRT3 merupakan projek ‘mega’.

“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat beta,” titahnya.

Sultan Sharafuddin bertitah, ketika pentadbiran itu juga saiz setiap stesen dikecilkan, jumlah gerabak dikurangkan dan lima stesen dalam jajaran LRT3 dibatalkan.
Baginda juga mengingatkan tiada pihak mendakwa kejayaan LRT3 adalah hasil usaha mereka semata-mata kerana projek itu merupakan kesinambungan perancangan dan kerjasama beberapa pentadbiran.
Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada bekas perdana menteri Najib Razak kerana menerima cadangan baginda pada 2015 untuk membina sistem rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

No comments:
Post a Comment