Seramai 100 keluarga daripada komuniti estet di Port Dickson akhirnya mampu menarik nafas lega apabila impian memiliki rumah sendiri kini menjadi kenyataan menerusi penyerahan surat tawaran unit di Program Perumahan Rakyat (PPR) Ladang Tanah Merah.
Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dalam satu acara yang disifatkan sebagai berita gembira buat komuniti yang sekian lama menanti peluang memiliki kediaman sendiri.
Projek perumahan bernilai RM20 juta itu menawarkan rumah jenis teres setingkat berkeluasan 750 kaki persegi di bawah Skim Sewa Untuk Milik (RTO), dengan kadar bayaran serendah RM237 sebulan termasuk caj pengurusan.

Kadar bayaran tersebut dilihat memberi kelegaan besar kepada keluarga berpendapatan rendah, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang terus menjadi perhatian rakyat ketika ini.
Menariknya, projek berkenaan sebelum ini berdepan kelewatan selepas timbul isu pencemaran melibatkan Loji Rawatan Kumbahan (STP) pada tahun 2023.
Bagaimanapun, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tampil menyelesaikan isu tersebut dengan menyalurkan hampir RM700,000 bagi kerja pemulihan demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk tidak terjejas.
KPKT menegaskan inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI yang melihat pemilikan rumah sebagai asas penting dalam membina kehidupan rakyat yang lebih stabil dan sejahtera.
Malah, kerajaan kini turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya melepasi sasaran di bawah RMK12 dengan meluluskan lebih 511,540 unit rumah mampu milik untuk manfaat rakyat di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment