AWAS…KKB BOLEH JADI TAPAK BERMULA JATUHNYA SELANGOR?



PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 11 Mei depan pada asasnya hanya suatu proses untuk memilih semula seorang Adun berikutan penyandangnya sebelum ini telah meninggal dunia.


Siapa kalah siapa menang tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri yang diterajui PH/BN, tidak menggugat kedudukan Menteri Besar, Amirudin Saari, jauh sekali mampu menggoncang kedudukan kerajaan di peringkat pusat.


Hakikatnya, tiada apa-apa yang akan berubah, meski apa pun keputusannya nanti.


Tetapi, berdasarkan perkembangan semasa – khususnya hubungan UMNO dan DAP yang tidak berapa baik berikutan isu-isu yang berlaku kebelakangan ini, selain komposisi pengundi KKB sendiri ialah Melayu 51%, Cina 30% dan India 18%, mahu tidak mahu, PRK KKB adalah penting untuk diperhati dan dianalisa.


Ia bukan saja daripada segi sama ada PH/BN mampu bertahan lagi sebagai kerajaan di Selangor, bahkan juga sejauh kerajaan madani di peringkat pusat yang diterajui PMX boleh dielakkan daripada kejatuhan dalam PRU16 akan datang.


Paling mudah untuk dibaca ialah jika PH melalui DAP gagal mempertahankan KKB yang telah dikuasainya sejak tiga penggal lalu, ini bermakna kubu parti itu bukan lagi kawasan yang selamat di Selangor.


Tidak kira siapa calon lawan daripada PN nanti, baik Melayu atau Cina, gagalnya PH mempertahankan kerusi KKB, ia adalah petanda bahaya bakal menjelma.


Kalah DAP di KKB bermakna dalam PRU atau PRN akan datang memungkinkan parti itu kehilangan lebih banyak lagi kerusi yang selama ini selesa dimenanginya.


Kalau begitu kedaannya, rakan lain dalam PH iaitu PKR dan Amanah juga dalam zon bahaya sama.


Kalau di Selangor sudah bertukar jadi bahaya, kedudukan kerajaan pusat juga akan berada dalam bahaya juga.


Jika pun mungkin DAP masih boleh menang banyak kerusi dalam PRU16 akan datang kerana ia bertanding di kawasan pengundi Cina yang besar jumlahnya, tetapi dengan kalahnya PH di KKB, ia memberi bayangan bahawa PKR dan Amanah yang bertanding di kawasan campuran berada dalam bahaya yang cukup besar.


Tambah memburukkan keadaan menjelang PRK KKB ini ialah kerana MCA dan MIC awal-awal lagi sudah membuat keputusan tidak mahu membantu DAP.


Enggannya MCA dan MIC memberi bantuan adalah gambaran parti-parti dalam kerajaan madani sudah mula berpecah dan tidak sehaluan lagi, walhal dalam beberapa PRK sebelum ini, insiden memboikot dan enggan memberi bantuan seumpama ini tidak pernah berlaku.


Sedikit sebanyak, dengan keengganan MCA dan MIC memberi bantuan itu, kelompok 30% pengundi Cina dan 18% pengundi India akan semakin berpecah atau barangkali lebih ramai yang tidak keluar mengundi.


Dalam keadaan tersebut, terutama jika pengundi Melayu sebanyak 51% lebih ramai yang condong kepada PN berbanding PH yang diwakili DAP, harapan PH untuk menang tentunya semakin menjauh.


Kalau testimoni MCA dan MIC berjaya di KKB di mana tanpa bantuan mereka boleh menyebabkan PH kalah, maka tiada ada jaminan juga kedua-dua parti tersebut mahu terus kekal bersama BN dalam PRU16 akan datang.


Kesimpulannya, jika keputusan PRK KKB nanti menyaksikan hala tuju pengundi Melayu lebih mengarah kepada PN, diikuti dengan pengundi Cina dan India yang makin berpecah, semua ini akan memberi harapan yang memudar kepada PH/BN untuk kekal meneruskan kuasa, di Selangor dan juga di Pusat.


Maka itu, segala jentera PH/BN jangan pandang mudah PRK KKB ini kerana ia tidak mustahil boleh menjadi tapak bermulanya sebuah kejatuhan kepada perjuangan mereka. – ShahbudinHusin 21/04/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/21/kkb-tapak-mula-kejatuhan-madani.html



No comments: