PN PERLU BUAT ROMBAKAN, GANTI KETUA PEMBANGKANG BAHARU’


 Kehadiran barisan kepimpinan baharu dalam kabinet Kerajaan Perpaduan sejak Selasa lalu memberi nafas segar kepada blok Madani untuk memantapkan pentadbirannya.

Oleh itu, Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran menyarankan blok pembangkang yang tidak putus putus cuba menumbangkan kerajaan agar merombak barisan kepimpinan mereka dengan menukar jawatan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada pemimpin lain yang lebih berwibawa.

Menyifatkan prestasi Setiausaha Agung Bersatu itu ‘lemah’ di Dewan Rakyat, Yuneswaran berpendapat, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menang Pilihan Raya Kecil Kemaman baru baru ini sepatutnya mengambilalih kedudukan Ketua Pembangkang.

“Rombakan kabinet telah selesai, jadi saya saran Ketua Pembangkang (di Dewan rakyat) juga perlu ditukar kerana beliau gagal menjadi Ketua Pembangkang yang berkualiti jika dibandingkan dengan sebelum ini (Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang).

“Bukan itu sahaja, beliau juga kerap tidak hadir ke Parlimen. Jadi saya fikir, sudah tiba masanya Ahli Parlimen Kemaman (Samsuri) jadi Ketua Pembangkang kerana beliau dilihat lebih baik (berwibawa) daripada pemimpin parti Bersatu,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Untuk rekod, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besat Terengganu diangkat menjadi Ahli Parlimen Kemaman pada 2 Disember lalu, apabila menang dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang hanya mendapat 27,778 undi.

Mengulas lanjut berkenaan rombakan kabinet, Yuneswaran optimis kehadiran muka-muka baharu, terutama tokoh teknokrat seperti Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II mampu memberi impak baik kepada pembangunan ekonomi negara.

“Saya yakin barisan kehadiran tokoh baharu ini bukan sahaja boleh menstabilkan politik negara tetapi ia juga boleh memberikan idea-idea baharu yang baik untuk negara.

“Ia bukan sahaja memenuhi ruang kekosongan dan jawatan kabinet tetapi dengan kepakaran dalam bidang masing-masing itu mampu membantu Perdana Menteri untuk terus memacu negara,” ujarnya lagi.

Selasa lalu, selain tokoh teknokrat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pelantikan menteri baharu antaranya Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi; Ahli Parlimen Damansara dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (Menteri Digital); serta Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Manakala, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan kini memegang jawatan Menteri Sumber Manusia.




No comments: