CUKAI LVG HANYA 10 PERATUS, LINDUNGI PENGELUAR TEMPATAN


Pelaksanaan cukai barang bernilai rendah (LVG) di bawah nilai RM500 harus dilihat menyeluruh dan bukan secara terpisah kononnya kerajaan bertindak keterlaluan mengenakan cukai baharu bagi mendapatkan hasil.

Menurut Ketua Komunikasi dan Penerangan Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yop, cukai LVG yang dijangka bermula awal Januari depan telah ditangguhkan kerana kerajaan khuatir sesetengah rakyat dan penjual barangan belum bersedia

Namun hal itu katanya, perlu bagi menjaga perusahaan tempatan yang membuat barangan sama tetapi telah dicukai di dalam negara.

“Ada yang berpendapat cukai ini akan membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan juga golongan rentan

“Kerisauan ini biasa berlaku setiap kali regulasi cukai baru diperkenalkan oleh kerajaan.

“Namun begitu, perlaksanaan cukai LVG ini harus dilihat secara holistik dan bukan secara terpisah dan berjuzuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Ahmad Nadhir, perlaksanaan cukai LVG hanya kepada transaksi atas talian, selain kadar yang dikenakan sebanyak 10% itu melibatkan barang-barang import sahaja.

“Apabila kita melihat pengenaan cukai ini hanya kepada barangan import, ia adalah satu insentif menggalakkan masyarakat supaya membeli dan mengutamakan barangan tempatan.

“Pemain industri kecil sederhana tempatan seharusnya mengambil peluang untuk meningkatkan lagi kualiti produk mereka dan juga menggunakan strategi pemasaran yang lebih berkesan untuk produk mereka bagi bersaing dengan produk import,” jelasnya lagi.

Ujarnya, pelaksanaan cukai berkenaan juga akan meningkatkan kuasa ringgit Malaysia melalui permintaan domestik dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pertukaran matawang asing.

Selain itu, kata Nadhir, pengenaan cukai itu juga boleh dilihat sebagai galakan masyarakat membeli barangan tempatan secara atas talian.

“Oleh itu, masyarakat haruslah memahami bahawa pengenaan cukai ini bukanlah satu bentuk beban kepada kepada rakyat tetapi lebih kepada galakan kepada pertumbuhan ekonomi dan juga menambah hasil negara,” ujarnya lagi.

Kerajaan menjelaskan pelaksanaan cukai LVG adalah bertujuan untuk mengelakkan perusahaan kecil dan sederhana tempatan mengalami kerugian akibat barangan murah dari luar negara bernilai rendah dibeli secara atas talian, terutama dari negara China.

Sedangkan produk tersebut juga dibuat oleh perusahaan dalam negara dengan kualiti yang setara tetapi telah dikenakan Cukai Jualan 10%. Oleh itu produk luar juga dicukai LVG sebanyak 10% bagi keseimbangan harga.


No comments: