FITNAH SATU HAL. TAPI MALANGNYA MENTERI PENERANGAN TIADA MASA UNTUK MENERANGKANNYA DALAM MEDIA SOSIAL YANG DIKUASAI PEMBANGKANG.

 



FITNAH MAKIN BERLELUASA, SAMPAI RAJA PUN JADI MANGSA DAN KERAJAAN MESTI BERANI BERTINDAK SEGERA.



Semua kita tentunya setuju bahawa sekarang ini fitnah tumbuh begitu subur, bercambah bersilih ganti dan marak dengan berleluasa sekali.

Setiap hari ada saja fitnah disebarkan dan dengan bantuan pelbagai saluran media sosial, ia dengan pantas menjadi olahan sebuah hidangan enak yang terbuka dipersembahkan untuk dijamah oleh sesiapa saja.

Dan tentunya semua orang juga setuju bahawa fitnah ini lebih berkembang di ketika Pas menjadi pembangkang.

Ada fitnah yang segera disedari oleh pembuatnya, lalu mereka segera memohon maaf dan tidak kurang yang kebenarannya hanya terbukti setelah dibawa ke mahkamah.

Macam dalam kes fitnah aset Tabung Haji kononnya dijual kepada bukan Islam, setelah bertahun-tahun melalui proses mahkamah, baru hari ini pembuat fiitnah itu sendiri menarik balik rayuan atas hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim.

Ini bermakna, akhirnya tukang fitnah sendiri sudah mengaku kalah dan tidak mampu lagi mempertahankan apa yang difitnahkan itu.

Selepas 2018 di mana PH menjadi kerajaan, ketika itu bermulalah pelbagai jenis firnah tersebar, terutama berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.

Semua fitnah itu, jika diteliti, dicipta dan disebarkan, hanyalah semata-mata untuk memburukkan kerajaan kerana ada DAP di dalamnya.

Kemudian setelah PH tumbang melalui Langkah Sheraton dan PN yang didalamnya ada Pas menjadi kerajaan, tidak pula kedengaran ada fitnah-fitnah berkaitan Melayu dan Islam berleluasa, wahal kerajaan yang wujud itu tidaklah lebih baik daripada kerajaan sebelumnya.

Sekarang, setelah PH kembali menjadi kerajaan bersama UMNO/BN, malah sekali lagi ada DAP di dalamnya, ternampak mesin fitnah semacam aktif semula.

Tidak saja pemimpin politik dan kerajaan yang menjadi sasaran fitnah pada ketika ini, bahkan sudah sampai ke tahap di mana Sultan dan Raja pun turut difitnah sama.

Sebelum ini Sultan Perak dijadikan mangsa fitnah di mana ucapan lama baginda dipetik dan diedit secara terpilih untuk disesuaikan dengan situasi semasa bagi meraih laba politik, manakala yang terbaru, Sultan Selangor pula difitnah berkaitan penutupan sekolah agama dan tahfiz di negeri itu.

Sultan Selangor dengan segera mengarahkan pihak polis agar mengesan pemfitnah berkenaan untuk seterusnya diambil tindakan yang sewajarnya.

Pejabat Sultan Perak sebelumnya juga membuat laporan polis berkaitan fitnah terhadap baginda itu.

Kenapakah fiitnah berkaitan Islam dan Melayu hanya berleluasa ketika Pas menjadi pembangkang saja?

Meski direkodkan merekalah yang paling banyak kalah saman fitnah, seolah-olah ketakutan kepada balasan api neraka kerana dosa fitnah itu langsung tiada.

Lebih malang, dalam fitnah terhadap Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution berkaitan permohonan kewarganegaraan, yang mana ia sudah pun diberi penjelasan, tetapi ia tetap diulang-ulang kembali dan lidah rasmi Pas sendiri turut menjadi penyebar serta penggalaknya.

Mendepani semua fitnah yang telah sampai ke tahap kronik ini, kerajaan sudah tidak boleh berdiam diri dan bertolak ansur lagi.

Tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi dan seperti mengubati kencing manis, kalau perlu dipotong kaki, maka itulah yang perlu dilakukan dengan segera.

Kemudian, kalau perlu dipotong kaki yang sebelah lagi, tolong jangan berlengah lagi daripada melakukannya.

Tanpa keberanian mengambil tindakan tegas dan keras, kerajaan ini bukan saja dilihat lemah di mata rakyat, bahkan tidak mustahil akan tumbang di tengah jalan.

Sebelum semua itu berlaku, mereka yang ada kuasa di atas sana, janganlah duduk diam saja. – ShahbudinHusin 29/08/2023.