40 HADIS LIBATKAN MURID ISLAM, GERAKAN MENGELUPUR KENAPA?



 Tindakan gebabah parti Gerakan mahu mengambil tindakan undang undang terhadap Kerajaan Perpaduan yang memperkenalkan pengajaran 40 hadis Imam Nawawi di sekolah awam menimbulkan tanya tanya banyak pihak.

Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, modul pengajaran hadis itu hanyalah lanjutan daripada subjek Pendidikan Islam sedia ada di sekolah dan Gerakan sebagai parti bukan Islam tiada hak untuk mempersoalkannya kerana tidak melibatkan pelajar bukan Islam.

“Saya ambil maklum kenyataan beberapa pimpinan Perikatan Nasional dari Gerakan yang membantah keputusan Kementerian Pendidikan melaksanakan pembelajaran 40 Hadis Imam Nawawi ketika ini. Malah lebih teruk ada yang mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Apa yang Gerakan menggelupur sehingga perlu mengambil tindakan undang-undang?

“Modul ini (telah dinyatakan) tidak terpakai kepada pelajar bukan Islam, dan perkara ini bukan baharu melainkan penekanan (pengajaran) pendidikan berkaitan hadis-hadis yang membentuk sikap baik pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Razeef, pengajaran hadis 40 itu penting bagi membina minda generasi muda Melayu-Islam agar tidak bersikap ekstrem sebagaimana yang tergambar dalam hantaran hantaran di media sosial kebelakangan ini.

Tentangan dari Gerakan, katanya, hanya akan membantutkan usaha untuk menjadikan umat Islam di Malaysia lebih sederhana dan toleran kepada berbilang bangsa.

Dalam masa sama, Razeef turut hairan melihat sikap parti Islam Pas yang menjadi komponen terbesar dalam PN tidak mampu menasihati atau mengawal Gerakan dan membiarkan kenyataan menentang Islam dikeluarkan oleh pemimpin parti berkenaan.

“Gerakan memang dikenali sebagai sebuah parti yang sering bermasalah dengan sebarang perkara seperti ini. Malah parti itu juga pernah cuba mengambil tindakan undang-undang menentang pelaksanaan hudud yang pernah dicadangkan Pas.

“Apa yang lebih menghairankan bagaimana Pas (bersikap) terus membisu dan membiarkan Gerakan dalam Perikatan Nasional terus menerus menentang sesuatu berkaitan agama Islam yang tidak ada kaitan dengan parti itu.

“Bagi saya alasan tidak mendapat penerangan yang jelas sangat dangkal, memandangkan sejak awal lagi umum telah dimaklumkan pembelajaran modul ini tidak sama sekali melibatkan pelajar yang bukan beragama Islam,” Razeef lagi.