DAP TIDAK PERNAH MINTA PAS BUANG ISLAM DALAM PERJUANGANNYA


 

Pas tidak wajar terus memfitnah DAP selepas 8 tahun parti itu berpisah dalam kerjasama di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook hari ini menolak tuduhan terbaharu Pas kononnya DAP cuba meminta Pas ‘membuang’ Islam daripada perjuangannya menyebabkan Pas meninggalkan PR pada 2015 lalu.

Menurut Anthony Loke, DAP sama sekali tidak pernah menyentuh dasar perjuangan Pas dalam dua kerjasama politik yang tinggal sejarah pada 1999 – 2002 dan 2008 – 2015.

“Saya merujuk kepada ucapan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang di satu ceramah di Johor semalam di mana sekali lagi beliau memfitnah kononnya pimpinan DAP meminta Pas untuk “membuang” Islam dalam perjuangannya untuk meneruskan kerjasama antara Pas dan DAP.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut. DAP tidak pernah meminta Pas “membuang” Islam sepanjang kerjasama di antara kedua-dua parti sama ada semasa dalam Barisan Alternatif mahupun PR.

“DAP konsisten dalam pendirian kami sepanjang kerjasama politik dengan Pas bahawa kami fokus dalam isu-isu yang dipersetujui bersama tetapi mengambil pendekatan “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dalam isu yang tidak dapat mencapai konsensus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Menteri Pengangkutan itu lagi, isu pokok yang tidak dapat dipersetujui oleh DAP termasuklah pelaksanaan hukum hudud.

Namun perkara itu, katanya, tidak boleh diketegorikan sebagai ‘membuang’ Islam Pas kerana hukum hudud tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Isu pokok yang tidak dapat dipersetujui oleh DAP ialah hukum hudud. Memang DAP konsisten dalam perkara ini kerana ia tidak berlandaskan kepada sistem undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin mengingatkan Pas bahawa selain DAP, orang yang paling lantang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud ialah Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke-4,” ujarnya.

Sehubungan itu, Loke menyelar Pas kerana tidak bertanya kepada rakan sekutu baharu mereka iaitu Gerakan atau Tun Mahathir, adakah kedua duanya telah menerima hukum hudud.

“Pendirian tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud tidak bermakna melawan agama Islam. Tun Dr Mahathir tidak pernah setuju dengan pelaksanaan hudud. Begitu juga parti-parti yang disebut oleh Tan Sri Hadi seperti MCA, MIC dan Gerakan.

“Mengapa hanya DAP yang sentiasa dilabelkan oleh Pas sebagai “musuh” Islam? Bukankah ini semata-mata satu pembohongan Pas untuk menjadikan DAP sebagai “punching bag” dalam percaturan politik mereka,” katanya lagi.

Untuk rekod, Pas sering menyalahkan DAP di atas kehancuran Pakatan Rakyat dan seterusnya menggunakan DAP untuk menakut nakutkan orang Melayu kononnya parti itu sedang menindas agama Islam di peringkat Persekutuan.

Strategi tersebut berjaya mendapat undi di Utara dan Timur Semenanjung, kali ini digunakan pula dalam Pilihan Raya Kecil di Johor.



No comments: