FMT REPORTER
Ciptaan Tuhan datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Hakikatnya setiap kejadian itu hadir dengan fungsi dan manfaatnya yang tersendiri sesuai dengan keseimbangan alam.
Bercakap mengenai rupa, umum mengetahui hidupan akuatik seperti Blobfish, Monkfish dan Jerung Goblin
adalah antara ikan yang paling hodoh dan pelik kejadiannya.
Tetapi jangan terkejut kerana seorang pelaut di Itali baru-baru ini berjaya menangkap seekor ikan yang menyerupai khinzir.
Ikan yang disifatkan memiliki badan seperti jerung dan berwajah khinzir itu dinaikkan di perairan Darcena Medice dekat bandar Portoferraio di Pulau Elba, Itali, lapor The Mirror.
Pelaut yang menaikkan ikan tersebut amat terkejut dan seram dengan wajahnya yang pelik. Dia juga pada mulanya menyangka ia sejenis ikan mutasi yang terlepas ke laut.
Ikan pelik itu sebenarnya adalah Angular Roughshark yang hidup 2,300 kaki di bawah permukaan laut. Ia turut dikenali sebagai jerung pig-face.
Gambar jerung tersebut dikongsi di laman Facebook Isola d’Elba App Jumaat lalu dan mula tular sejak itu.
Ramai yang pelik dan terkejut dengan makhluk berwajah luar biasa itu dan tidak kurang juga yang mengecam pelaut tersebut kerana menyangka ia sengaja ditangkap.
Angular Roughshark baru-baru ini disenaraikan sebagai spesies yang terancam oleh International Union for the Conservation of Nature (IUCN).
Walaupun terancam, jurucakap Elba Aquarium, Yuri Tiberto berkata ikan tersebut sering dilihat di kawasan tersebut.
“Ia biasanya dipanggil ‘ikan khinzir’ kerana setiap kali timbul di permukaan air ia akan mengeluarkan satu bunyi seakan mendengus,” tambahnya.