Rasanya ramai yang tidak mengetahui bahawa di
sebalik termetrainya MOU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan
dengan blok pembangkang PH pada petang Isnin lalu, orang penting di belakang
tabir dalam menentukan kesuksesannya ialah Hamzah Zainuddin.
Hamzah yang merupakan Menteri Dalam Negeri
dan Setiausaha Agung Bersatu bukan saja merupakan perancang utama sejak awal
lagi, bahkan telah memainkan peranan sangat penting bagi pihak Perdana Menteri,
Ismail Sabri Yaakob sehingga berjayanya MOU itu ditandatangani oleh kedua-dua
belah pihak.
Difahamkan peranan Hamzah boleh dikata sampai
ke tahap menyeluruh bermula daripada awal hinggalah MOU itu selesai
ditandatangani, termasuk dalam berurusan dengan pemimpin-pemimpin PH.
Mereka yang tahu berkaitan dengan perkara itu
memberitahu, peranan Hamzah malah sehingga ke peringkat menentukan tempat dan
bilik untuk majlis itu diadakan.
Kata mereka, pemilihan Bangunan Parlimen dan
penentuan bilik di dalam bangunan tersebut untuk majlis berkenaan adalah
diputuskan oleh Hamzah.
Pemilihan Bangunan Parlimen dibuat kerana
Hamzah merasakan ia sebagai tempat yang dirasakan paling sesuai bagi acara
bersejarah itu, di samping bilik yang dipilih pula dapat memberi keselesaan
kepada Ismail Sabri untuk menghadirinya.
Dengan berjayanya MOU itu ditandatangani yang
dari segi politiknya memberi Ismail Sabri laluan selesa mengemudi negara
sekurang-kurangnya sehingga PRU15 akan datang, Perdana Menteri difahamkan amat
berpuas hati dengan kerja yang dilakukan Hamzah itu.
Lebih-lebih lagi dengan perancangan dan
keselesaan yang diberi kepada Ismail Sabri untuk hadir tanpa berdepan banyak
kesukaran, Hamzah boleh dianggap telah berjaya menjalankan tugasnya dengan
cemerlang.
Dengan kejayaan Hamzah bersama MOU tersebut,
beliau kini disebut-sebut sebagai pilihan yang sedang melekat di hati Ismail
Sabri untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Seorang pemimpin Bersatu yang agak dekat
dengan Hamzah tidak menolak Ahli Parlimen Larut itu akan dilantik ke jawatan
nombor dua dalam kerajaan dalam waktu terdekat ini.
“Saya difahamkan perlantikan Hamzah akan
dibuat sebaik saja sidang Parlimen yang sedang berjalan ini berakhir,” kata
pemimpin Bersatu berkenaan dengan yakin.
Katanya, kalangan yang dekat dengan Hamzah
juga menyebut perkara yang sama iaitu Menteri Dalam Negeri itu akan dinaikkan
pangkatnya tidak lama lagi.
Hamzah sendiri, tambah beliau, bila diusik
dengan kemungkinan itu hanya membalasnya dengan senyuman meleret yang penuh
makna.
Pemimpin Bersatu itu menambah lagi, dengan
kerja sempurna yang berjalan dilakukan Hamzah dalam merealisasikan MOU dengan
PH itu, Ismail Sabri sebenarnya tiada pilihan lain dalam mengisi kekosongan
jawatan Timbalan Perdana Menteri dan serta bagi meringankan tugas Perdana
Menteri.
“Hamzah adalah pilihan yang sesuai buat
Ismail Sabri,” katanya.
Sebelum ini, sebaik Ismail Sabri dilantik
menjadi Perdana Menteri, nama yang paling disebut-sebut akan dijadikan Timbalan
Perdana Menteri dalam kerajaan pimpinannya ialah Azmin Ali.
Azmin bukan saja calon pilihan yang
dicadangkan oleh Bersatu, malah merupakan keutamaan yang cuba ditonjolkan oleh
Mahiaddin Md Yasin sendiri sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Begitu pun, dalam sususan kabinet yang
dibentuknya, Ismail Sabri tidak mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri dan
mengekalkan gaya Mahiaddin sebelum ini iaitu mewujudkan empat jawatan menteri
kanan.
Ismail Sabri dikatakan agak keberatan untuk
melantik Azmin sebagai Timbalan Perdana Menteri berikutan imejnya yang sudah
tercalar di mata umum dan beliau bimbang tidak terpikul dek bebanan tersebut.
Meskipun Azmin berkedudukan salah seorang
menteri kanan, tetapi beliau tidak diberi sebarang peranan mewakili kerajaan
dalam rundingan berkaitan MOU dengan PH itu.
Sebaliknya, peranan utama telah diberi kepada
Hamzah yang bersama kejayaannya melaksanakan tugas itu dengan cemerlang serta
mampu membuatkan Ismail Sabri bernafas selesa, perlantikannya sebagai Timbalan
Perdana Menteri dikatakan tidak dapat dielakkan lagi.
Lagi pun dengan bebanan tugasnya dan pelbagai
masalah di sekitarnya, Ismail Sabri tidak mungkin mampu berlama-lama tanpa ada
seorang Timbalan Perdana Menteri membantunya. –
ShahbudinHusin 16/09/2021.