Rungutan lama, jurang pembangunan punca sentimen negatif Sabah dan Sarawak, kata penganalisis
Rakyat di Sabah dan Sarawak percaya
banyak sumber alam termasuk minyak dan gas yang diambil dari kedua-dua negeri
itu digunakan untuk projek pembangunan di Semenanjung. (Gambar AFP).
PETALING JAYA: Rungutan lama dan jurang pembangunan menjadi
antara sebab mengapa tanggapan “Sabah untuk rakyat Sabah, Sarawak untuk rakyat
Sarawak” masih wujud biarpun 58 tahun telah berlalu sejak pembentukan Malaysia
pada 1963.
James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania dalam satu
perbincangan panel mengenai politik dinamik di Sabah, Sarawak dan Semenanjung
berkata: “Terlalu banyak kesilapan dilakukan dan terlalu banyak janji yang
tidak ditepati.”
Menerusi forum dianjurkan dengan kerjasama Zubedy dan Universiti
Taylor semalam, Chin berkata, sentimen negatif yang timbul dari peringkat
bawahan juga disebabkan ramai berasa terpinggir daripada arus pembangunan
perdana.
Rakyat Sabah dan Sarawak juga berpandangan banyak sumber mereka
telah diambil yang akhirnya digunakan untuk pembangunan di Semenanjung.
Katanya, pembangunan prasarana di Sabah dan Sarawak terlalu
perlahan dan tertinggal sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun di belakang
Semenanjung.
“Sebagai contoh, sistem lebuh raya pertama yang dibina di
Semenanjung ialah pada 1980an tetapi lebuh raya yang menghubungkan Sabah dan
Sarawak masih belum siap lagi – ini adalah jurang 30 tahun.”
Kata beliau, sikap kuasa politik Melayu sebelum 2008 sering
melihat Sabah dan Sarawak sebagai “deposit tetap” dengan pengundi akan terus
memilih mereka untuk kekalkan status quo.
“Ini bagaimanapun, berubah pada 2018 apabila bekas perdana
menteri Najib Razak memperuntukkan RM1 bilion untuk pembangunan dan melantik
dua timbalan speaker dari negeri Borneo,” kata Chin.
Sementara itu, bercakap mengenai pembaharuan ke arah
melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti dinyatakan dalam
Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri
Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, beliau berkata, satu perkara yang boleh
dilaksanakan sebelum perjanjian itu tamat pada Julai tahun depan ialah
meluluskan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
Rang undang-undang (RUU) itu yang dibentangkan pada 2019 oleh
pentadbiran PH ketika itu untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak serta
diberi hak sama rata dengan negeri-negeri lain.
Bagaimanapun, ia gagal mendapat sokongan dua pertiga di Dewan
Rakyat.
Cadangan pindaan itu bagi menyenaraikan negeri persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan Sabah dan Sarawak.