Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menerima baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mendesak kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang.
Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, keputusan itu menunjukkan kematangan politik UMNO walaupun parti itu menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan.
Katanya, ketegasan UMNO dalam membuat ketetapan itu juga disifatkan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
“Kenyataan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan agar Parlimen dan DUN dibenarkan bersidang semula menunjukkan kematangan politik UMNO walaupun sedang berada di dalam kerajaan.
“Situasi rakyat yang semakin meruncing pasca pandemik COVID-19 di samping ketiadaan semak dan imbang bagi sebuah pentadbiran yang demokratik hanya mengundang kemudaratan kepada ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Farhash Wafa berkata, timbul persoalan mengenai Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) ia dibimbangi tidak diuruskan dengan baik.
Katanya, malah KWAN bakal menghadapi risiko dijarah sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus menggunakan kuasa darurat untuk mengelak akauntabiliti.
“Semoga (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap terbuka dalam hal ini dan menyedari bahawa pentingnya amanat rakyat diutamakan sebelum kepentingan politik,” katanya lagi.
Pada Ahad, MT UMNO memutuskan untuk mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat kembali bersidang.
Ahmad berkata keputusan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.
Ujarnya UMNO bertegas bahawa kerajaan sedia ada tidak boleh dilihat sebagai cuba memandulkan amalkan demokrasi berparlimen.