Sistem konsesi bunuh kontraktor kecil Bumiputera, perlu kajian semula - ADUN Senggarang

 


untitled image



Sistem konsesi yang diamalkan dalam pemberian projek-projek kerajaan didakwa 'membunuh' kontraktor kecil Bumiputera.

Sehubungan itu, ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim bersama persatuan kontraktor kecil Bumiputera baru-baru ini menyerahkan memorandum kepada beberapa kementerian kerajaan Perikatan Nasional di Putrajaya menggesa agar sistem berkenaan dikaji semula dan diperbaikki.


Ir Khairuddin A Rahim

"Serahan memorandum adalah antara tujuan lawatan kami ke Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Kerjaraya Malaysia dan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Kita membantah hal ini. Perjuangan kita akan diteruskan lagi dengan membongkar kegiatan konsesi yang sebenarnya merosakkan atau membunuh kontraktor kecil bumiputera.

"Kita mahu hal ini terus dibangkitkan kerana sistem ini sudah ketinggalan zaman dan menguntungkan sebahagian kecil pihak sahaja," katanya.

Khairuddin yang sebelum ini membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Johor berkenaan salah laku pemberian projek kepada konsesi berkata, Jawatankuasa Bertindak Hapuskan Konsesi di Negeri Johor yang baharu ditubuhkan tidak akan berdiam diri menghadapi ketidakadilan itu.



Katanya, jawatankuasa tersebut juga akan menjelaskan kepada orang ramai dan pihak berkuasa mengenai kezaliman yang wujud dalam sistem berkenaan.

"Kita akan terus membongkar permasalahan yang berlaku dan ini sebahagian langkah kami dalam usaha menghapuskan sistem konsesi

"Apa yang kita lakukan ini selain memperjuangkan kontraktor kecil bumiputera, ia juga membantu orang ramai kerana tidak akan ada lagi projek alibaba akan berlaku.

"Kerajaan seharusnya memandang serius perkara ini. Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus melawan demi kepentingan semua pihak, bukan sebahagian individu atau kumpulan sahaja," katanya lagi.

Hadir bersama dalam rombongan itu ialah Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia, Tukiman Radion, Yang Dipertua PERKOBF Johor, Zahrul-lail Abd Moez, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hapuskan Konsesi di Negeri Johor, Ruzman Samsudin serta Ahli Jawatankuasa dan kontraktor perseorangan yang hadir memberikan sokongan.