PETALING JAYA: Seorang pelajar universiti awam di Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan memuat naik status menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di akaun Facebooknya pada Februari lalu.
Tertuduh, Ahmad Muazz Ishak, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Pelajar universiti itu dituduh memuat naik status di akaun Facebook yang didaftarkan atas nama MuazzIshak yang tertera perkataan menghina Tunku Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan di premis makanan segera di Jalan Pontian-Skudai, di sini, 11.45 pagi, 5 Februari 2021, menurut laporan Harian Metro.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyum Ramlan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Valantino Ifni Ho Ridzuan.
Terdahulu, Qayyum menawarkan jaminan RM10,000 dengan tertuduh perlu melapor diri dua minggu sekali di balai polis berhampiran sehingga kesnya selesai.
Peguam tertuduh kemudian memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,500 dengan alasan anak guamnya masih menuntut sebagai pelajar tahun kedua jurusan sains sosial di Kuala Lumpur dan tiada pendapatan.
Hakim kemudian memerintah tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur, setiap dua minggu sekali.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Mei.